CHONG Wei tidak meminta sebarang bayaran apabila dilantik sebagai duta pelancongan Sabah. FOTO arkib NSTP
CHONG Wei tidak meminta sebarang bayaran apabila dilantik sebagai duta pelancongan Sabah. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Bekas jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei tidak meminta sebarang bayaran apabila dilantik sebagai duta pelancongan Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin berkata, Chong Wei bersetuju mempromosikan Sabah secara percuma.

Bagaimanapun katanya, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan menanggung perbelanjaan Chong Wei sepanjang menjalankan aktiviti promosi sebagai duta pelancongan Sabah.

"Chong Wei adalah seorang idola dan ikon yang mempunyai ramai pengikut di media sosial. Beliau juga adalah seorang `influencer' yang boleh membuat promosi melalui Instagram dan Facebook yang mempunyai pengikut lebih satu juta.

"Untuk makluman, pihak STB tidak membayar satu sen pun kepada beliau dan beliau bersetuju untuk membantu mempromosikan Sabah secara percuma.

"Cuma apabila kita bawa dia nanti, kita kena tanggung contohnya kita buat penggambaran untuk mempromosikan Semporna, kita tanggung pembayaran perjalanan. Itu saja yang dia minta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan - Senallang) ketika mencelah pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah, hari ini.

Mohd Shafie meminta penjelasan faktor pemilihan Chong Wei sebagai duta pelancongan Sabah selain kos sebenar untuk perbelanjaan yang ditampung kerajaan atas pelantikan itu.

Sebelum itu, Jafry turut menjawab soalan Datuk Christina Liew (PKR - Api-Api) yang mempersoalkan keputusan STB tidak melantik lebih ramai rakyat Sabah sebagai duta yang dilihat lebih memahami budaya dan makanan negeri ini.

Jafry menjelaskan bahawa kerajaan turut mengambil beberapa duta tempatan dari Sabah sebelum ini namun disebabkan Chong Wei adalah ikon dunia, maka kesempatan itu diambil untuk melantik beliau bagi membantu memperkenalkan Sabah.

Pada 27 Oktober lalu, Chong Wei diumumkan sebagai duta pelancongan Sabah sebagai antara usaha kerajaan negeri melalui STB untuk menarik semula kedatangan pelancong ke Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 5:30 PM