DATUK Jafry Ariffin (empat kanan) bergambar bersama Eric Chong (empat dari kiri) selepas pelancaran Mansau Sabah Boostku bertempat di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Lembaga Pelancongan Sabah
DATUK Jafry Ariffin (empat kanan) bergambar bersama Eric Chong (empat dari kiri) selepas pelancaran Mansau Sabah Boostku bertempat di Hotel Le Meridien Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Lembaga Pelancongan Sabah
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menggalakkan trend bayaran tanpa tunai bagi meningkatkan industri pelancongan di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata antara usaha terkini yang dilaksanakan pihaknya adalah jalinan kerjasama di antara Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan penyedia e-dompet tempatan, Boost untuk mempergiatkan lagi promosi pelancongan domestik ke negeri ini.

Menurutnya, ia adalah sebahagian usaha kementeriannya menerusi STB bagi menggalakkan dan menyediakan pilihan digital untuk pelancong domestik untuk membeli pakej pelancongan dan mendiami hotel di Sabah.

"Aplikasi ini digunakan di seluruh negara dan sudah tiba masanya untuk kita memanfaatkan sepenuhnya pengguna e-dompet.

"Dengan peningkatan pendaftaran harian dan tawaran yang bermanfaat terutamanya untuk menarik pengguna, saya menggalakkan pihak berkepentingan pelancongan untuk mengambil peluang ini bagi memaksimumkan pengguna sasaran anda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Mansau Sabah Boostku bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, semalam.

Turut hadir, Pembantu Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Eric Chong.

Dalam pada itu, Jafry turut berkata dengan kelonggaran sekatan daerah yang berkuat kuasa pada 14 Oktober lalu dan 1 November untuk merentas negeri, beliau yakin ia menjadi berita baik kepada semua rakyat Sabah.

"Melihat pada situasi sekarang, saya melihat rakyat tempatan amat gembira dan menghargai kebebasan untuk keluar dan meneroka tarikan baharu di Sabah.

"Sabah adalah destinasi pelancongan kegemaran orang ramai. Terlalu banyak aktiviti untuk dilakukan dan tempat untuk dilihat. Terdapat lebih banyak potensi yang boleh kita terokai untuk memenuhi permintaan pelbagai jenis pelancong.

"Ini adalah kemajuan yang positif untuk industri pelancongan setelah sekian lama kita mengambil langkah berjaga-jaga dan mengekalkan prosedur standard operasi (SOP) seperti yang telah disyorkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 8:51 AM