JAFRY Ariffin (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Chong Wei yang dilantik sebagai Duta Pelancongan Sabah daripada Kementerian  Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah hari ini. FOTO BERNAMA
JAFRY Ariffin (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Chong Wei yang dilantik sebagai Duta Pelancongan Sabah daripada Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah hari ini. FOTO BERNAMA
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah melantik bekas pemain badminton nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai Duta Pelancongan Sabah.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, pihaknya memilih Chong Wei bagi memegang peranan terbabit berikutan reputasi besar dimilikinya dan dikenali di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, pihaknya bersyukur kerana Chong Wei turut bersetuju mengambil peranan sebagai Duta Pelancongan Sabah bermula Oktober tahun ini sehingga Disember tahun hadapan.

"Ini adalah berita baik untuk industri pelancongan di Sabah kerana berbekalkan pencapaian cemerlangnya, kementerian yakin peranan Chong Wei sebagai Duta Pelancongan akan membantu melonjakkan industri pelancongan negeri ke tahap lebih tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Chong Wei mempunyai ramai peminat bukan saja di negara Asean, tetapi negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), China, Korea Selatan, Denmark dan United Kingdom.

"Semua negara ini adalah sebahagian daripada pasaran yang menjadi pemangkin kepada kemajuan pelancongan di Sabah selepas pandemik Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis makan tengah hari bersama Chong Wei dan Lembaga Pelancongan Sabah (Sabah Tourism Board) bertempat di Sutera Harbour Marina, di sini, hari ini.

Jafry berkata, pihaknya yakin kerjasama Chong Wei akan membantu menggalakkan pelancongan ke Sabah, di samping mewujudkan minat orang ramai untuk lebih mengenali destinasi menarik di Sabah.

Sementara itu, Chong Wei berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri Sabah atas pelantikannya sebagai Duta Pelancongan Sabah.

"Saya amat menghargainya dan berharap dapat membantu meningkatkan semula sektor pelancongan Sabah kerana dua tahun ini, disebabkan pandemik Covid-19 melanda Malaysia dan ia sangat sukar.

"Negeri Sabah sangat terkenal dan sebelum ini saya selalu ke sini untuk menyertai pertandingan.

"Saya tahu Sabah sebuah tempat yang sangat popular, sebelum ini, apabila saya pergi ke China atau Taiwan dan negara lain, ramai orang berkata mengenai Sabah.

"Negeri ini sangat cantik dan mudah-mudahan saya akan dapat membawa seluruh keluarga saya bercuti di sini seterusnya membantu mempromosikan pelancongan yang ada di Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 5:20 PM