PESAWAT MAB. FOTO Arkib NSTP
PESAWAT MAB. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Malaysia Airlines Berhad (MAB) mencatatkan peningkatan tempahan tiket ke Sabah selepas kerajaan negeri melonggarkan syarat ujian saringan Covid-19 kepada pengunjung yang datang ke negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB, Kapten Izham Ismail berkata, penjualan tiket bagi penerbangan ke Kota Kinabalu adalah yang tertinggi sepanjang tempoh Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair), baru-baru ini.

Perkara terbabit disampaikan kepada delegasi Sabah yang diketuai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Jafry Ariffin, dalam pertemuan yang diadakan di Akademi MAB di Petaling Jaya, Selangor, Isnin lalu.

Izham berkata, Sabah adalah hab penting bagi mereka dan MAB telah meningkatkan penerbangan mingguan ke Kota Kinabalu daripada 68 kepada 75 penerbangan dari November hingga Disember tahun ini.

Menurutnya, syarikat penerbangan terbabit juga akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan antara Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, mulai 1 Disember ini.

Dengan sempadan antarabangsa dijangka dibuka semula tahun hadapan, MAB juga menyatakan persediaan untuk membawa masuk pelawat antarabangsa ke negara ini dan seterusnya ke Sabah.

Sementara itu, Jafry menyatakan bahawa penjualan tiket penerbangan yang memberangsangkan itu petunjuk bahawa pelancongan semakin pulih dan ramai rakyat Malaysia masih bersemangat untuk melawat Sabah.

"Kementerian kami dan STB (Lembaga Pelancongan Sabah) sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan MAB untuk mewujudkan semula penerbangan terus domestik dan antarabangsa ke Sabah.

"Kami menyasarkan untuk melihat ketibaan pelawat meningkat selepas sekian lama industri pelancongan terhenti dan ini tidak akan dicapai tanpa bantuan daripada syarikat penerbangan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:20 AM