Noor Hidayah Tanzizi


Batu Gajah: 'Berjalan' menggunakan papan selaju (skateboard) sambil tangan mengawal kelajuan bukan penghalang untuk remaja berstatus orang kurang upaya (OKU) melakukan aktiviti seperti remaja normal lain.

Mengakui tidak pernah berasa kecewa atau malu dengan kekurangan diri, menjadikan Muhammad Izwan Md Said, 17, yang berasal daripada Kuala Lumpur menerima kekurangan diri dengan reda.

Menurutnya, kecacatan kedua-dua kaki sejak lahir menyebabkan pergerakannya terhad, namun dia tetap menjalani kehidupan sama seperti insan normal lain.

"Saya adalah seorang yang berdikari dan mengurus diri sendiri ketika di rumah. Di sekolah, kelas saya di tingkat dua dan tidak menyukarkan kerana saya boleh naik tangga dengan menggunakan tangan, manakala beg dan skateboard pula rakan akan bantu bawa.

"Saya sangat bersyukur ada keluarga dan rakan yang sentiasa beri sokongan dan bantuan," kata anak bongsu daripada dua beradik ketika ditemui pada program santai berkayak OKU Perak 2021 di Tasik Akademik Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara di Tronoh di sini, semalam.

Laporan portal Harian Metro sebelum ini
Laporan portal Harian Metro sebelum ini

Dia menggunakan papan selaju itu sejak berusia 10 tahun selepas melihat orang bermain papan berkenaan yang mencetuskan idea kepadanya dan ibu bapa mencuba menggunakannya.

Menurutnya, papan selaju yang digunakan ketika ini adalah yang kedua dan dia turut mengakui selesa menggunakan papan berkenaan yang membantu memudahkan pergerakannya.

"Tak susah pun nak kawal kelajuan, mudah saja dan saya menggunakan tangan. Kadang-kadang saya guna kerusi roda juga," katanya yang datang ke program itu bersama rakannya.

Menurutnya, dia menerima kekurangan itu dengan reda walaupun pernah juga berasa berbeza dengan rakan lain ketika di sekolah rendah.

Dia yang selalu berfikiran positif dan melakukan aktiviti seperti insan normal mahu menonjolkan keupayaan diri dengan sokongan bapa, Md Said Ahmad, 73, dan arwah ibunya, Faridah Jantan yang meninggal dunia pada Julai lalu.

"Ini pengalaman pertama saya berkayak. Saya mahu mencuba serta mencabar keupayaan diri walaupun pada mulanya agak takut tapi selepas itu saya sudah rasa seronok dan mahu melakukannya lagi," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sahabat OKU Perak Muhamad Danial Azli berkata, program sempena sambutan Hari OKU Sedunia itu disertai 50 OKU fizikal kaki dan tangan serta berkerusi roda dari negeri ini, Kuala Lumpur dan Selangor.

Katanya, program itu mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa OKU juga boleh melakukan aktiviti air dan lasak, selain dapat menonjolkan jati diri mereka ketika berhadapan cabaran dilalui.

"Cabarannya adalah dari segi kekuatan tangan macam saya sendiri adalah cacat tangan, jadi apabila mendayung menggunakan kekuatan tangan, kami berasa macam diri kami ini biasa saja (boleh melakukan aktiviti seperti insan normal)," katanya.

Program berkenaan anjuran Sahabat OKU Perak dengan kerjasama Persatuan Kenu Negeri Perak, Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Negeri Perak (Baiduri) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 9:33 AM