AKSI memukau oleh Zainul.
AKSI memukau oleh Zainul.
ANTARA aksi menarik Yaziru dalam Laksa Jam
ANTARA aksi menarik Yaziru dalam Laksa Jam
GAYA ‘flip 180 degree’ cuba disempurnakan Ian.
GAYA ‘flip 180 degree’ cuba disempurnakan Ian.
AKSI ‘Flying Skate’ terapung di udara ditampilkan Ian.
AKSI ‘Flying Skate’ terapung di udara ditampilkan Ian.
SAINGAN sengit diberikan peserta dalam Laksa Jam
SAINGAN sengit diberikan peserta dalam Laksa Jam
Nurul Husna Mahmud


Penampilan peserta cilik Ian Noriman Amri tidak kekok malah selesa meluncur di samping 50 peluncur papan selaju yang bukan seusia dengannya.

Mengenakan seluar trek berserta dengan kemeja-‘T’ hitam, peserta cilik berusia 10 tahun itu bersemangat menyempurnakan rutin ‘flying skate’.

Meskipun pelantar melebihi dua meter dia langsung tidak gayat kerana semangat memberi saingan pada kejohanan Laksa Jam anjuran jenama lokal papan selaju Laksamana Skateboards.

Wakil penganjur merangkap Pengarah Program, Keiron Brodie berkata, misinya jelas mahu mencari jagoan mampu mengusung nama Malaysia dalam kejohanan besar antaranya kejohanan dunia papan selaju atau Grandprix Beroun World Cup Skateboarding di Republik Czech.

“Laksa Jam antara kejohanan tempatan terbesar membabitkan komuniti sukan papan selaju kerana Laksamana Skateboards mahu mencari jaguh peluncur terbaik mewakili Malaysia ke kejohanan antarabangsa.

“Malah sedia maklum untuk Olimpik Tokyo semestinya sukan ini menawarkan pingat dan kami sebahagian komuniti sukan lasak papan lokal mahu peluncur terbaik mewakili negara.

“Sebagai sokongan Laksamana Skateboards menawarkan pemenang Laksa Jam tiket ke Republik Czech untuk kejohanan dunia bagi persiapan Olimpik Tokyo.

“Saringan dijalankan bermula di peringkat kumpulan hingga ke peringkat akhir selepas senarai pendek lima terbaik daripada 50 yang bertanding hari ini.

“Kami jalankan secara terbuka dan lima terbaik menerima hadiah wang tunai namun juara akan menerima tiket pergi balik dan wang sara menampung perbelanjaan mereka di sana,” katanya.

Tidak lupa dalam Laksa Jam kali ini katanya, penampilan Dave Bachinsky serta pemenang tiga kali X Games Tomas Vintr dan peluncur profesional dari Amerika Syarikat Sierra Fellers turut membuat penampilan ketika sesi bengkel berlangsung dari pagi hingga jam 3 petang.

Bagi Ian, bukan kemenangan dikejar sebaliknya pengalaman serta pendedahan mengenai kemasan mahupun teknik terbaru mengenai rutin atau ‘trick’ membuatkan dia mengambil bahagian dalam acara kali ini.

Mengakui berdebar apabila perlu berentap peserta jauh pengalaman, namun dia tidak menolak hakikat peluang ada andainya dia mengekalkan prestasi baik.

“Saya turut berlatih dengan senior yang membantu saya untuk mempelajari ‘trick’ dengan lebih baik. Selain itu mengikuti klinik dianjurkan pro seperti Joe Ipoh serta Pa’din membantu saya mencabar peserta lain.

“Tambah pula format kejohanan bebas iaitu peserta perlu melakukan sebanyak mungkin ‘killer trick’ dalam tempoh ditetapkan juri jadi itu mata dibawa sebagai pemilihan terbaik,” katanya.

Tambah Ian, dia tidak mahu tertekan dan mahu berseronok bersama peminat sukan itu, melihat persekitaran pertandingan seperti situasi berada dalam latihan.

“Kalau tidak berani buat tentu susah untuk dapatkan rutin menarik. Ini pertandingan dan saya perlu buang rasa gugup serta berseronok dengan hasil latihan,” katanya.

Seorang lagi perserta, Yaziru Amiru Basyir menyifatkan ganjaran ditawarkan penganjur sukar diketepikan buat pencinta sukan papan selaju.

“Pentas dunia atau berada dalam kejohanan dunia menjadi impian mana-mana penggiat sukan papan selaju di Malaysia. Selaku terbabit dalam sukan alternatif, kami tidak mempunyai tajaan mahupun dana sebagaimana pemain sukan arus perdana.

“Mengharapkan penajaan daripada pengeluar produk seperti ‘street wear’ serta penganjur kejohanan seperti ini sebenarnya banyak memberi peluang kepada atlet sukan ini berkembang.

“Sedangkan potensi mahupun skil dimiliki terutama dalam mendapatkan pingat cerah tetapi kalau hanya berdasarkan pertandingan dalam negara, kami atlet sukan papan selaju sukar berkembang. Justeru saya berharap lebih ramai sokong potensi peluncur tempatan terutama apabila pingat ini ditawarkan pada Olimpik Tokyo 2020 nanti,” katanya.

Sementara itu peserta, Zainul Muraqein Marzuki berkata, selain peluncur ‘otai’ pertandingan ini turut menarik penampilan muka baru membantu sukan ini berkembang.

“Sukan ini relevan dan masih mendapat perhatian peminat sukan ekstrem generasi baru. Kami ada pemain muda berusia tujuh dan lapan tahun serta kami masih berkumpul bersama otai lama.

“Sedikit sebanyak sukan ini menerapkan gaya hidup sihat baik juga menjalin hubungan sosial. Mengenai sukan ini, bagi saya memberi kepuasan apabila dapat melakukan ‘trick’ sempurna. Semestinya latihan banyak diperlukan untuk menjadi yang terbaik dalam sukan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2017 @ 12:02 AM