ALAT besi mudah alih yang digunakan Fathurrahman  memudahkan pemanduannya. FOTO Abdel Hudzairee Mohd Yasak
ALAT besi mudah alih yang digunakan Fathurrahman memudahkan pemanduannya. FOTO Abdel Hudzairee Mohd Yasak
Zairee Mohd Yasak

Melaka : Status orang kurang upaya (OKU) bukanlah halangan buat Fathurrahman Aiman Othman, 20, pesakit spinal bifida untuk bebas bergerak seperti remaja normal yang lain.

Berpegang kata-kata semangat arwah ibunya, Sabariah Ahmad, anak bongsu daripada lima beradik itu menjadikan kekurangan fizikalnya yang cacat kedua-dua kaki sebagai pendorong untuk memerdekakan diri daripada terus berada dalam ‘kepompong’ merendah diri.

Walaupun pergerakannya terhad, sama ada merangkak atau menggunakan papan selaju (skateboard), pelajar tahun akhir diploma rekabentuk grafik komputer di sebuah kolej swasta, di sini, menjadikan kekurangan dirinya sebagai anugerah Allah yang istimewa.

Mesra dengan panggilan Faturrahman, dia berkata, sentiasa wujud rasa tercabar setiap kali dikelilingi rakan lain, malah dia bersyukur mereka melayannya seperti orang normal.

“Tiada langsung rasa tersisih sebab mereka melayan saya macam orang normal. Malah saya turut menyertai mereka bermain ping pong jika ada kelapangan.

“Kawan sedia membantu memudahkan pergerakan saya setiap kali menghadiri kuliah, terutama ketika menaiki tangga dengan membantu membawa buku atau papan selaju saya,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.

Penyakit spinal bifida yang sering dihidapi bayi ialah kecacatan tiub neural yang menyebabkan jurang di tulang belakang sehingga mengganggu perkembangan saraf tunjang.

Faturrahman berkata, dia yang menggunakan kerusi roda sebelum ini, mula menggunakan papan selaju untuk memudahkan pergerakan sejak berusia 11 tahun, selepas berjumpa rakan OKU sama sepertinya, Mohd Haziq Samran, 23, di Kuala Lumpur.

Walaupun berketinggian kurang satu meter, Faturrahman tetap menjalani kehidupan seperti remaja lain, termasuk memandu kereta menggunakan bantuan alatan menekan pedal minyak dan brek yang direka khusus. Alatan mudah alih yang ditempah pada harga RM280 melalui rakan yang senasib hanya boleh digunakan untuk kereta bertransmisi automatik, namun begitu alatan sama khusus untuk kereta transmisi manual turut berada di pasaran.

FATHURRAHMAN menunjukkan papan lucur yang digunakan untuk memudahkan pergerakkannya di rumahnya. FOTO Abdel Hudzairee Mohd Yasak
FATHURRAHMAN menunjukkan papan lucur yang digunakan untuk memudahkan pergerakkannya di rumahnya. FOTO Abdel Hudzairee Mohd Yasak

Dia berkata, rasa bangga timbul ketika menjalani ujian memandu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bukit Katil, di sini, selepas enam bulan belajar di kolej kerana dirinya menjadi tumpuan pelajar dan penguji pada 2016.

Menurutnya, dia sentiasa berasa ‘merdeka’ dari kelainan dirinya, malah tetap bersemangat tinggi melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sebelum membuka perniagaannya sendiri sebaik berjaya mengumpul modal dan pengalaman kerja dari syarikat lain.

Sementara itu, bapanya, Othman Majid, 61, bersyukur dengan penerimaan masyarakat terhadap kelainan anaknya itu sejak dilahirkan sehingga sekarang.

“Sehingga sekarang, belum pernah saya dengar dia merungut atau mengadu diejek sesiapa saja yang ditemuinya di luar. Malah, dia sentiasa ceria dan bersemangat menghadapi hari-hari mendatang.

“Ada saja aktiviti yang disertainya jika berkelapangan, sama ada berjalan-jalan atau beriadah bersama kawan atau saudara mara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 9:28 AM