Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Kira-kira 3,000 penduduk menikmati penjimatan antara 25 hingga 30 peratus di Jualan Keluarga Malaysia di perkarangan Wisma UMNO di sini hari ini.

Antara barangan yang ditawarkan dengan penurunan harga ialah beras pek lima kilogram yang dijual pada RM10 berbanding RM12.50 di tempat lain, seekor ayam RM5 (RM11), sepapan telur gred C RM8 (RM12.50) sekilogram daging lembu segar RM30 (RM40) dan sayuran.

Dalam pada itu, terdapat juga jualan kombo dua paket minyak masak setiap sekilogram dan tepung gandum satu kilogram yang dijual pada harga RM4.

DATUK Seri Reezal meninjau tapak program Jualan Keluarga Malaysia di perkarangan Wisma UMNO Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
DATUK Seri Reezal meninjau tapak program Jualan Keluarga Malaysia di perkarangan Wisma UMNO Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sambutan yang diterima daripada masyarakat adalah amat menggalakkan.

Katanya, program jualan itu yang bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu akan diteruskan pada setiap minggu sehingga harga barangan keperluan kembali stabil.

"Kerajaan komited untuk terus membantu dan meringankan beban rakyat yang kini berdepan kenaikan harga barangan keperluan," katanya ketika turun meninjau pelaksanaan program itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar.

Program turut disertai Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa syarikat serta pasar raya.

Reezal yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, beliau juga sudah mendapat jaminan bekalan untuk mengadakan program itu setiap minggu.

"Kalau ada keperluan dan sambutan yang diterima amat baik, kita akan tambah sekali ganda lagi barangan keperluan asas yang paling diperlukan orang ramai dalam senarai barangan Jualan Keluarga Malaysia," katanya.

Sementara itu, pengunjung, Mustafa Muhammad, 76, berkata dia sanggup beratur panjang hampir 20 minit kerana jumlah kemasukan pengunjung di kawasan jualan dihadkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Saya gembira dengan penjualan ini kerana dapat jimat lebih RM10 dengan membeli beras, telur, tepung gandum, minyak masak dan ayam segar.

"Penjimatan itu dapat bantu saya untuk menampung pembelian barang lain lagi dalam keadaan sesetengah harga barang agak tinggi ketika ini," katanya.

Menurutnya, program seumpama itu perlu diteruskan memandangkan rakyat amat terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan selain ada yang masih terhimpit disebabkan wabak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 1:16 PM