Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Yayasan Salam Malaysia menyalurkan bantuan makanan kepada 1,000 keluarga B40, di sini, bagi memberi keceriaan sekali gus meringankan beban mereka untuk menyambut Aidilfitri.

Ahli Lembaga Pengarah Amanah Yayasan Salam Malaysia, Datuk Mior Kamarulbaid Mior Shahid berkata, program sumbangan barangan keperluan harian itu menjadi aktiviti tahunan badan bukan kerajaan (NGO) itu mengikut lokasi yang terpilih.

"Setiap tahun kita akan berubah dari satu tempat ke satu tempat untuk melaksanakan aktiviti ini.

"Namun, akibat kekangan Covid-19, usaha kita agak sukar namun bersyukur dapat melaksanakan program ini dalam Parlimen Kepala Batas, tahun ini," katanya ketika ditemui selepas Program Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri di Permatang Bertam, di sini, hari ini.

Reezal Merican (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Sumbangan Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di  Sekolah Rendah Agama Daeratul  Ma'arifil Wataniah. FOTO DANIAL SAAD
Reezal Merican (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Sumbangan Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Sekolah Rendah Agama Daeratul Ma'arifil Wataniah. FOTO DANIAL SAAD

Program dengan kerjasama syarikat Philip Morris Malaysia itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Turut hadir, Pengarah Urusan Philip Morris Malaysia Naeem Shahab Khan.

Katanya, sejumlah RM100,000 diperuntukkan bagi menjayakan program itu dengan kerjasama penaja yang berlangsung ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kita berharap sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka," katanya.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, beliau berterima kasih kepada kedua-dua pihak yang memilih kawasan Parlimen Kepala Batas untuk melaksanakan program bantuan terbabit.

"Syukur, kawasan ini menjadi pilihan dan ia dianggap hadiah berharga buat penduduk Kepala Batas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:33 PM