REEZAL Merican mahu bangunkan pelbagai institusi ilmu di Kepala Batas.
REEZAL Merican mahu bangunkan pelbagai institusi ilmu di Kepala Batas.
Izzati Zaidi


Kepala Batas: Parlimen Kepala Batas akan terus dikenali dengan jolokan kota pendidikan Pulau Pinang seiring legasi Barisan Nasional (BN) yang berterusan membangunkan pelbagai institusi ilmu untuk rakyat Malaysia.

Calon BN Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kawasan parlimen itu terkenal dengan melahirkan ramai tokoh agamawan.

Menurutnya, kawasan itu juga berada dalam keadaan aman menerusi kewujudan pelbagai agensi penguat kuasa malah dilengkapi kemudahan asas yang baik.

Katanya, misi beliau dan parti amat jelas iaitu untuk terus membangunkan Kepala Batas.

"Fokus kami adalah dalam aspek memperkasa agenda perumahan terutama membantu golongan B40 memiliki kediaman sendiri.

"Kerana itulah baru-baru ini julung kalinya, kita bawakan PPR (Program Perumahan Rakyat) ke Kepala Batas ini meliputi pembinaan 700 unit rumah pangsa empat tingkat berserta kemudahan asas di Pongsu Seribu, Seberang Perai Utara.

Bagaimanapun, dalam pada menuju pembangunan, kawasan ini perlu dikekalkan sebagai kawasan yang cukup bersederhana dalam segala aspek baiklah dari berpolitik atau apa saja," katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Beliau berkata, pembangunan anak muda sentiasa diberi perhatian malah pelbagai kemudahan diusahakan buat golongan berkenaan seperti e-Sport Youth Cabin di Wisma Umno Kepala Batas yang juga dilengkapi gelanggang futsal.

Selain itu, terdapat juga pembinaan pusat belia bertaraf tinggi bernilai RM45 juta di Paya Keladi.

Menurutnya, 'track record' BN di Kepala Batas terbukti membawa limpahan ekonomi serta kemakmuran ke kawasan itu baiklah dari aspek infrastruktur, pendidikan, pelancongan mahupun perusahaan makanan.

"Insya Allah, tidak lama saja lagi, kita juga bakal menyaksikan pembukaan satu lagi produk pelancongan di Kepala Batas iaitu taman tema air bertaraf lima bintang yang terletak di lokasi cukup strategik dengan pelbagai tarikan aktiviti," katanya.

Reezal Marican berkata, segala perancangan bukan sekadar retorik kerana ia dibuktikan berdasarkan keperluan dan kehendak rakyat.

ada PRU-14, Reezal Merican memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas menewaskan calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan Siti Mastura Muhammad (Pas) selepas memperoleh 22,459 undi.

Pada PRU-15 ini, penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas itu bakal bersaing dengan Danial Abd Majeed daripada Pakatan Harapan (PH), Dr Siti Mastura Mohamad mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Hamidi Abdul Hassan daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 10:38 PM