BUAH-BUAHAN import mengalami peningkatan harga di pasaran. FOTO Arkib NSTP
BUAH-BUAHAN import mengalami peningkatan harga di pasaran. FOTO Arkib NSTP
Nazdy Harun

Marang: Kerajaan menyedari berlaku peningkatan harga buah-buahan di pasaran negara berikutan konflik yang berlaku antara Russia dan Ukraine.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya ada menerima rungutan berkaitan peningkatan harga terbabit.

Katanya, pemantaua kenaikan harga barangan kerap dilakukan namun pihaknya tidak menolak berlaku peningkatan kos sehingga menyebabkan harga buah-buahan import naik.

"Ia (buah-buahan import) memang berlaku kenaikan harga apatah lagi sumber barangan terbabit datangnya dari negara yang sedang dalam peperangan dan kita tidak menafikan kenaikan harga terbabit.

"Namun, kita sentiasa memantau keadaan ini bagi mengelak peniaga dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan berikutan bekalan yang diperoleh sememangnya sudah pada harga yang tinggi.

"Sekiranya berlaku pencatutan terhadap harga barangan berkenaan, kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," katanya ketika ditemui di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Dataran Masjid Mak Kemas, di sini, semalam.

ROSOL (kanan) meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di perkarangan Masjid Mak Kemas, Bukit Payong. FOTO Nazdy Harun
ROSOL (kanan) meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di perkarangan Masjid Mak Kemas, Bukit Payong. FOTO Nazdy Harun

Mengulas mengenai PJKM, beliau berkata, melihat kepada kejayaan program terbabit, kerajaan berhasrat untuk melanjutkannya pada masa depan.

Katanya, konsep yang digunakan sama, namun pendekatan sedikit berbeza apabila pihaknya menyediakan lori yang akan bergerak ke lokasi yang ditetapkan.

"Program yang menggunakan lori ini akan dimulakan di Johor pada minggu hadapan dan lokasi terawal adalah daerah Endau dan Kluang sebelum digerakkan ke kawasan lain.

"PJKM memberi impak baik kerana pengguna dapat membeli keperluan dengan harga sedikit murah berbanding harga asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 4:27 PM