GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Penjawat awam kerugian hampir RM400,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kejadian bermula September lalu apabila wanita berusia awal 50-an itu menerima panggilan telefon daripada seorang suspek yang menyamar sebagai pihak insurans.

Menurutnya, suspek memaklumkan mangsa membuat tuntutan insurans kemalangan sebanyak RM70,000, namun dinafikan oleh mangsa.

Katanya, pada hari sama, mangsa turut menerima panggilan daripada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terbabit kes penggubahan wang haram dan akan ditangkap.

"Mangsa juga diminta untuk menyediakan wang jaminan sebanyak RM500,000 sekiranya mahu menyelesaikan kes ini dan mangsa mendedahkan semua maklumat akaun miliknya kepada 'pegawai polis' berkenaan.

"Malah, wanita itu dilarang memberitahu sesiapa mengenai siasatan 'polis' yang sedang dijalankan kerana bimbang akan mengancam keselamatan dirinya serta keluarga sekiranya sindiket penggubahan wang haram berkenaan mendapat tahu mangsa bekerjasama dengan pihak polis," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, seminggu kemudian mangsa diarahkan mengumpulkan kesemua wang miliknya dalam satu akaun bank.

Menurutnya, mangsa mengeluarkan wang simpanan daripada beberapa institusi kewangan berjumlah RM115,000 dan memasukkannya ke dalam satu akaun mangsa sendiri yang dipilih oleh suspek.

"Bagi menyediakan wang jaminan yang diarahkan, pada Oktober dan November lalu mangsa membuat pinjaman dari dua bank berbeza berjumlah RM280,000 yang kemudiannya turut dipindahkan ke akaun bank milik mangsa.

"Selain itu, mangsa juga dalam proses membuat pinjaman dengan sebuah lagi institusi kewangan kerana wang jaminan belum cukup," katanya.

Mengulas lanjut Shafien berkata, pada Khamis lalu mangsa membuat semakan baki akaun bank miliknya dan mendapati semua wang simpanan serta wang pinjaman yang dibuatnya sebelum ini dipindah keluar ke akaun bank pihak ketiga tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.

"Mangsa terus membuat laporan polis dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan pesalah boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda," katanya.

Katanya, kegiatan jenayah penipuan telekomunikasi seperti Macau Scam telah mendapat liputan yang meluas di media massa dan juga di media sosial tetapi masih ada individu yang terpedaya dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

"Taktik yang digunakan suspek sentiasa bertukar dengan menyamar sebagai pegawai Bank, Mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) polis dan terkini pihak insurans," katanya.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil untuk memastikan diri tidak menjadi mangsa kepada kes seumpama ini adalah dengan memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar "Check Scammers CCID" untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor talian telefon yang digunakan sama ada pernah terbabit di dalam kes jenayah komersil.

"Selain itu, jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan melalui telefon atau media sosial kepada individu yang tidak dikenali dan juga melalui laman sesawang serta aplikasi telefon pintar yang meragukan di mana aplikasi berkenaan mungkin mengandungi malware atau virus trojan yang akan membuat salinan foto, video dan senarai kenalan yang ada di dalam telefon pintar berkenaan.

"Pada masa sama, membuat semakan secara terus dengan Balai Polis atau Ibu pejabat Polis Daerah yang berhampiran apabila menerima panggilan yang meragukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 5:01 PM