GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Guru sebuah sekolah rendah di sini, kerugian RM216,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai pekerja syarikat insurans.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa berusia 48 tahun sebelum itu dihubungi syarikat insuran yang memaklumkannya ada membuat tuntutan insuran kemalangan pada 9.30 pagi, 10 November lalu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya menafikan perkara itu sebelum talian disambungkan ke Balai Polis Pudu untuk membuat laporan pembatalan insuran berkenaan.

Katanya, seterusnya talian disambung kepada pihak mahkamah kononnya mangsa terbabit dengan jenayah penggubahan wang haram.

"Pada awal bulan ini, mangsa membuat pinjaman peribadi melalui dua bank berlainan berjumlah RM118,000 dan RM59,000 sebelum semua wang itu dipindahkan ke akaun bank lain miliknya.

"Mangsa berbuat demikian kerana diarahkan oleh suspek yang memberikan alasan kononnya untuk memudahkan seliaan dan pemantauan oleh pihak mahkamah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata, mangsa juga memberikan maklumat akaun banknya kepada seorang lelaki yang mendakwa kononnya dari mahkamah tinggi ketika dihubungi pada 1 Disember lalu.

Bagaimanapun, katanya, wanita berkenaan hanya menyedari ditipu selepas dimaklumkan oleh pihak bank yang wang pinjaman peribadi dan wang simpanannya berjumlah RM216,000 dipindahkan ke akaun lain melalui 13 transaksi semalam.

"Mangsa membuat semakan di kaunter bank dan mendapati wang dalam akaunnya sudah tiada sebelum membuat laporan polis pada 12.30 tengah hari semalam.

"Suspek melakukan transaksi perbankan secara dalam talian kepada akaun lain atas nama dua lelaki dipercayai keldai akaun selepas mangsa dedahkan maklumat perbankannya," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 4:24 PM