GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang penolong pegawai tadbir berusia 43 tahun rugi RM121,300 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang juga lelaki sudah berkahwin dan berasal dari Baling menerima panggilan itu pada 28 Januari lalu dari wanita yang mengaku sebagai pegawai bank berhubung tunggakan pinjaman peribadi selama tiga bulan.

Menurutnya, selepas mangsa menafikan membuat pinjaman peribadi berkenaan, panggilan itu kemudian disambungkan kepada lelaki yang menyamar sebagai sarjan dari Balai Polis Seri Kembangan kononnya untuk membuat aduan berkaitan pinjaman terbabit.

"Suspek kemudian berpura-pura menghubungi Bahagian Pengurusan Maklumat Bukit Aman untuk membuat semakan mengenai pinjaman berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian dimaklumkan kononnya dia terbabit dalam kes penggubahan haram selepas semakan dibuat oleh 'sarjan' berkenaan.

Beliau berkata, panggilan itu disambungkan kepada seorang wanita yang mengaku pegawai atasan Bahagian Penggubahan Wang Haram Bukit Aman dan meminta mangsa pergi ke sebuah bank berhampiran untuk mengemaskini maklumat akaun banknya.

"Mangsa diarah menukar nombor telefon kepada nombor telefon yang diberikan suspek serta diarahkan ke sebuah bank lain untuk mengeluarkan simpanan Amanah Saham Bumiputra dan dipindahkan ke akaun bank pertama.

"Suspek memberi alasan langkah itu untuk tujuan pemantauan Bank Negara bagi mengesahkan wang berkenaan adalah bersih dari wang haram," katanya.

Elias berkata, mangsa kemudian dihubungi suspek hampir setiap hari untuk meminta wang tambahan sehinggakan mangsa terpaksa membuat beberapa pinjaman peribadi dari dua bank untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pertama.

Beliau berkata, sehingga Jun lalu, suspek meminta mangsa menunggu hasil siasatan yang dijalankan dan mengarahkan mangsa untuk tidak membuat semakan terhadap akaun bank pertama dengan alasan tindakan itu akan mengganggu siasatan.

"Namun pada 20 September lalu, barulah mangsa tergerak hati untuk membuat semakan terhadap akaun bank pertama terbabit.

"Mangsa terkejut apabila mendapati ada 17 kali pindahan wang melalui dalam talian mulai 30 Januari hingga 29 Jun berjumlah RM121,300 ke 11 akaun bank berbeza," katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Baling, semalam dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah menyerahkan maklumat peribadi secara dalam talian selain memastikan membuat semakan dengan polis atau pihak berkaitan untuk tujuan pengesahan jika dihubungi.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 6:05 PM