GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Melaka: Seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian RM199,111 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, mangsa berumur 50 tahun itu menerima panggilan telefon pada 10 Oktober lalu daripada suspek yang mendakwa kononnya ejen insurans, dengan mengatakan mangsa membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali dengan jumlah RM76,800.

"Mangsa menafikan perkara itu namun panggilan itu disambungkan ke Balai Polis Pudu dan mangsa bercakap dengan SM Azman yang mengatakan pengadu terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram berkait dengan seorang suspek lelaki bernilai RM2.8 juta.

"Panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada Inspektor Mastura yang memberitahu dia boleh membantu mangsa menyelesaikan kes itu, sebelum mangsa menerima satu lagi panggilan daripada Puan Yong dan Tuan Chong yang menyamar pegawai bertugas dengan memberitahu mangsa akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, selain memintanya membayar wang jaminan sebanyak RM568,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sundra berkata, disebabkan mangsa tidak mempunyai wang untuk membayar wang jaminan itu, mangsa membuat pinjaman dengan dua bank berlainan bernilai RM380,888.

Katanya, pada 12 November mangsa menerima panggilan daripada Puan Yong dan mengarahkan mangsa menukar nombor telefon pada kad bank milik mangsa kepada nombor telefon yang diberikan oleh suspek, selain mengarahkan semua wang simpanan mangsa yang ada dalam satu lagi akaun bank dipindahkan ke dalam satu akaun.

"Tanpa rasa curiga mangsa mengikut semua arahan suspek dan selepas itu wanita itu telah dihubungi semula oleh Puan Yong yang memintanya membuat pinjaman dengan pihak pinjaman kredit namun tidak berbuat demikian kerana berasa curiga.

"Mangsa kemudiannya membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah wang RM199,111 telah dikeluarkan. Berasa diri diperdaya, mangsa membuat laporan polis semalam (7 Disember) di Balai Polis Tiang Dua," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sundra berkata, seorang suri rumah berusia 55 tahun turut mengalami kerugian RM9,850 menerusi modus operandi yang hampir sama, apabila diperdaya suspek yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan kad pengenalan miliknya disalah guna untuk mengambil ubatan di sebuah klinik kerajaan di Ipoh, Perak.

Beliau berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan panggilan yang mencurigakan serta membuat semakan terhadap nombor telefon dan akaun bank sebelum membuat sebarang urusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 6:14 PM