Foto hiasan
Foto hiasan
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Memindahkan wang simpanan sebanyak RM418,000 ke akaun bank lain kononnya untuk memudahkan siasatan berkaitan jenayah penggubahan wang haram menyebabkan seorang wanita berputih mata.

Mangsa yang berusia lingkungan 60-an dan pesara kerajaan dihubungi seseorang yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans pada bulan lalu dan mendakwa tuntutannya sebanyak RM48,000 sudah diluluskan dan dibayar ke akaun bank tempatan miliknya.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa yang menafikan pernah membuat tuntutan dan memiliki akaun bank itu kemudiannya dipindahkan panggilan itu kepada seorang individu lain dipercayai menyamar sebagai anggota polis.

"Individu terbabit kononnya ingin membuat semakan identiti mangsa dan meminta mendedahkan semua butiran akaun bank yang dimiliki mangsa seperti nombor akaun, nombor kad mesin juruwang automatik (ATM) serta baki akaun.

"Panggilan itu kemudiannya disambung kepada 'pegawai atasan' yang memperkenalkan diri sebagai Tuan Chong dan mendakwa terdapat waran tangkap terhadap mangsa kerana terbabit dalam satu kes jenayah penggubahan wang haram bernilai RM2.18 juta.

"Bagi memudahkan 'siasatan' dan mengelakkan ditangkap, Tuan Chong mengarahkan mangsa memindahkan semua wang yang dimilikinya ke satu akaun bank yang dibuka di sini," katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Shafien berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas ke cawangan bank dan memeriksa baki akaun pada pagi 30 Ogos lalu dan mendapati wang sebanyak RM418,000 sudah dipindah keluar ke akaun bank milik pihak ketiga tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.

Menurutnya, mangsa terus membuat laporan polis dan kes kini dalam siasatan kerana kesalahan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.

"Penipuan jenayah telekomunikasi seperti Macau Scam sering mendapat liputan meluas di media massa dan media sosial tetapi masih ada individu yang terpedaya dari pelbagai peringkat umur serta latar belakang.

"Taktik yang digunakan suspek sentiasa bertukar seperti sebelum ini kerap menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pihak mahkamah, polis dan terkini wakil insurans," katanya.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, sepanjang tempoh sejak 1 Januari lalu hingga semalam, sebanyak 45 kes Macau Scam disiasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan membabitkan jumlah kerugian RM1.5 juta.

Menurutnya, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tempoh lapan bulan yang sama pada tahun lalu apabila mencatatkan 95 kes dengan jumlah kerugian RM4.1 juta, pihaknya ingin mengingatkan agar masyarakat lebih berwaspada supaya tidak menjadi mangsa yang seterusnya.

"Antara langkah yang boleh diambil untuk memastikan diri tidak menjadi mangsa kepada kes ini ialah memuat turun secara percuma aplikasi telefon pintar 'Check Scammers CCID' untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor telefon yang digunakansama ada pernah terbabit dalam kes jenayah komersil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:44 PM