PULUHAN kotak yang mengandungi pelbagai jenama mercun yang disimpan di salah sebuah kediaman di Jalan Sibiyu pada malam Rabu. FOTO Erika George
PULUHAN kotak yang mengandungi pelbagai jenama mercun yang disimpan di salah sebuah kediaman di Jalan Sibiyu pada malam Rabu. FOTO Erika George
Erika George


Bintulu: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu berjaya merampas pelbagai jenama mercun dianggarkan bernilai RM450,000 dalam serbuan ke atas sebuah kediaman di Jalan Sibiyu pada malam Rabu lalu.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, ACP Zulfikar Mohd Ghazali dalam kenyataannya hari ini berkata, hasil maklumat serta risikan dijalankan, sepasukan Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 Bintulu bertindak menjalankan serbuan ke atas kediaman terbabit pada jam 7 malam.

"Hasil serbuan menemui berpuluh-puluh kotak yang dalamnya mengandungi mercun pelbagai jenama diletakkan di bahagian ruang tamu kediaman," katanya.

Hasil semakan dijalankan katanya, mendapati pemiliknya lelaki tempatan berusia 35 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan mercun berkenaan.

Beliau berkata, lelaki terbabit orang yang disyaki turut ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan lanjut berhubung tangkapan ini katanya diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dan akan disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, PPMW5 Bintulu akan terus menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa berkaitan dengan pemilik bahan letupan secara haram terutama menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

"Dengan tumpasnya satu sindiket pengedaran mercun ini menjadi satu lagi kejayaan PPMW5 Bintulu membanteras kegiatan pengedaran mercun secara haram di bahagian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 2:41 PM