PPMW5 Sibu merampas 70 kayu balak pelbagai jenis dan saiz disyaki diperoleh secara haram di perairan Batu Luking, Kanowit. FOTO NORSYAZWANI NASRI
PPMW5 Sibu merampas 70 kayu balak pelbagai jenis dan saiz disyaki diperoleh secara haram di perairan Batu Luking, Kanowit. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


Sibu: Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Sibu merampas 70 kayu balak pelbagai jenis dan saiz disyaki diperoleh secara haram di perairan Batu Luking, Kanowit, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, bertindak atas maklumat berkaitan aktiviti kayu balak rakit, sepasukan pegawai dan anggota PPMW5 dalam tugas Op Pensura bergerak ke lokasi jam 10 pagi.

"Hasil rondaan dan tinjauan, kayu balak pelbagai jenis dan saiz tiada tanda hak milik dan tanda tukul Jabatan Hutan Sarawak (JHS) ditemui.

"Kesemua kayu balak rakit berkenaan disyaki diperoleh secara haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, anggaran nilai keseluruhan rampasan ialah RM 136,500.

"Kesemua kayu balak yang dirampas diserahkan kepada Pegawai Perhutanan Bahagian Kanowit untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Ordinan Perhutanan 2015," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2022 @ 9:22 AM