Abang Zulkifli Abang Engkeh
Abang Zulkifli Abang Engkeh
Mohd Roji Kawi


Kuching: Pertembungan antara DAP dan PKR untuk menyaingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12), 18 Disember ini dijangka tidak dapat dielakkan.

Ia susulan tindakan Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen yang terlebih dahulu mengumumkan 18 calon untuk bertanding mewakili parti itu, sekali gus mengingkari keputusan dibuat pada mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Khamis lalu.

Pada mesyuarat itu diputuskan agar pembahagian kerusi bagi tiga parti PH dibawa ke perbincangan peringkat Majlis PH Pusat.

Justeru, pemangku Pengerusi PKR Sarawak, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, jika persetujuan gagal dicapai menjelang hari penamaan calon, pertembungan dua parti pembangkang dari Semenanjung itu dijangka akan berlaku.

"Kemungkinan tiga penjuru (GPS, PKR dan DAP) memang ada. Dalam mesyuarat PH pada 25 November lalu, kita bersetuju untuk berunding (pembahagian kerusi) dengan Majlis PH Pusat, tetapi Chong (Chong Chieng Jen) mungkir.

"PKR Sarawak juga ada autonominya sendiri dan kini kami masih mengusahakan yang terbaik (menyelesaikan kemelut)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Chong mengumumkan 18 calon untuk bertanding di 18 kawasan mewakili DAP pada PRN-12 dengan empat daripadanya juga menjadi perhatian PKR iaitu Kemena, Senadin, Pujut dan Piasau.

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak dalam kenyataan semalam, mendakwa DAP Sarawak enggan berunding secara terbuka dan telus berhubung pembahagian kerusi, malah menolak untuk berjumpa sejak beberapa bulan lalu.

Kenyataan itu menyebut, perjumpaan perlu diadakan untuk menjelaskan mengenai perjanjian rundingan kerusi PH yang dibuat 2 Januari lalu.

MPN PKR Saraak mendakwa perjanjian itu tidak sah dan tidak boleh diguna pakai kerana ditandatangani pemimpin PKR terdahulu, Larry Sng tanpa persetujuan akar umbi.

Sng kemudiannya keluar daripada PKR pada Februari 2021.

Sementara itu, Chong menggesa supaya PKR memberi tumpuan kepada 47 kawasan yang sudah dipersetujui untuk ditandingi parti itu dan tidak membazir masa serta tenaga berebut kerusi.

"Sebelum tiga parti (PKR, DAP dan Amanah) menandatangani perjanjian peruntukan kerusi pada 2 Januari 2021, kita mengadakan beberapa pusingan rundingan, bukan sahaja dengan Larry Sng tetapi bersama beberapa ahli jawatankuasa negeri PKR yang lain seperti Joshua Jabeng (Setiausaha PKR Sarawak) malah Abang Zulkifli turut hadir dalam rundingan itu.

"Pada hari itu, Larry Sng menandatanganinya hasil persetujuan semua MPN PKR Sarawak bukan dia (Larry Sng) sahaja. Tetapi kerana Larry meninggalkan parti selepas itu, tidak bermakna keputusan keseluruhan jawatankuasa negeri sebelum ini adalah batal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chong berkata, perjanjian itu dibuat antara semua pihak berkepentingan dan pertukaran salah seorang pemegang jawatan (yang menandatangani) tidak menjejaskan kesahihan perjanjian.

"Kami di pihak DAP juga sudah melepaskan beberapa kerusi hanya untuk mencapai persetujuan itu," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 6:28 PM