ABANG Johari bergambar bersama ahli majlis tertinggi PBB ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Tertinggi PBB Sarawak Januari lalu. FOTO arkib NSTP
ABANG Johari bergambar bersama ahli majlis tertinggi PBB ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Tertinggi PBB Sarawak Januari lalu. FOTO arkib NSTP
Muhd Amirul Faiz Ahmad


PARTI Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijadual mengadakan mesyuarat khasnya di Ibu Pejabat Barisan Nasional (BN) Sarawak, Jalan Bako, Kuching, Rabu ini.

Ia dijangka dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg merangkap Presiden PBB dan Pengerusi BN Sarawak, bagi membincangkan hala tuju baharu parti berkenaan.

Difahamkan, ia susulan perubahan kepemimpinan Kerajaan Pusat kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Rabu lalu.

BN Sarawak menguasai 19 daripada 31 kerusi Parlimen dipertandingkan di negeri ini, manakala PH memenangi 10 kerusi, DAP (6) dan PKR (4), selain Bebas (2).

Sumber memberitahu NSTP, Abang Johari dijangka turut mengadakan sidang media khas sejurus selesai mempengerusikan mesyuarat berkenaan bagi menjelaskan segala tanda tanya mengenai situasi semasa BN Sarawak, khususnya PBB.

“Ia adalah mesyuarat pertama PBB sebagai parti dominan BN Sarawak selepas mencatatkan kemenangan dalam PRU14, sekali gus mengekalkan kedudukan Sarawak sebagai ‘kubu kuat’ BN.

“Bagaimanapun, tuah tidak menyebelahi kita di peringkat Kerajaan Pusat apabila kepemimpinan berubah selepas PH diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad menguasai keseluruhan keputusan PRU14,” katanya.

Justeru, adalah penting untuk mesyuarat khas itu diadakan bagi membincangkan hala tuju dan masa depan BN Sarawak, khusus dalam memastikan kelangsungan segala agenda pembangunan negeri dan pemerkasaan sosio-ekonomi rakyat di negeri ini.

“Di Sarawak, kita berpegang kepada prinsip kematangan politik dengan meletakkan kepentingan negeri dan rakyat melebihi segala-galanya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Jemut Masing ketika dihubungi menyatakan beliau tidak tahu sekiranya ada mesyuarat khas berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen menentang keras sekiranya mana-mana parti komponen BN Sarawak, khususnya PBB berhasrat menyertai PH di peringkat Pusat.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Sarawak turut menyifatkan sekiranya PBB diterima masuk dalam PH, ia seolah-olah menerima kemasukan UMNO.

“Kita sudah bekerja keras melawan rejim ‘korup dan menyeleweng’. Tidak masuk akal untuk kita membenarkan BN Sarawak, khususnya PBB menyertai PH.

“Walaupun penyertaan BN Sarawak sekadar dakwaan semata-mata, PH Sarawak sama sekali tidak akan menyokong dan membenarkan perkara itu berlaku,” katanya.

Bagaimanapun, Chieng Jen berkata, PH Sarawak sedia menerima kemasukan wakil rakyat BN Sarawak atas dasar individu, namun hanya selepas disaring Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita tidak mahu segala penyelewengan yang berlaku selama ini ‘hilang’ dan ‘lupus’ selepas menyertai PH Sarawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 11:28 PM