GAMBAR fail, Soon Koh. FOTO NSTP
GAMBAR fail, Soon Koh. FOTO NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Hasrat DAP Sarawak untuk menjalin kerjasama dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi menyaingi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) dilihat sukar untuk menjadi kenyataan.

Ini kerana Presiden PSB Datuk Seri Wong Soon Koh seolah-olah mahu terus berseteru dengan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PSB khususnya di kerusi Bawang Assan dan Dudong.

Terbaru, Soon Koh menyifatkan kenyataan Chieng Jen bahawa pembangkang yang kuat diperlukan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, sebagai sesuatu yang amat melucukan.

Beliau berkata, PSB berpegang teguh kepada prinsip dan perjuangan untuk membentuk kerajaan negeri baharu bagi menggantikan GPS, bukan sekadar menjadi pembangkang yang kuat seperti yang disasarkan DAP.

"Prinsip dan pendirian PSB sangat jelas. Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana ahli politik atau parti politik dari Semenanjung.

"Tetapi Chieng Jen masih bercakap mengenai matlamat untuk menjadi pembangkang yang kuat. Ya... dia boleh terus menjadi pembangkang kerana itu yang dia mahu tetapi PSB lebih berminat untuk membentuk kerajaan yang kuat," katanya dalam kenyataan, semalam.

Soon Koh berkata, DAP sudah menjadi pembangkang lebih 40 tahun dan mungkin Chieng mungkin berpuas hati dengan pencapaian mereka dan mahu terus menjadi pembangkang.

Jumaat lalu, Chieng Jen berkata, DAP Sarawak masih berusaha untuk bekerjasama dengan PSB di Bawang Assan dan Dudong.

Dua kerusi itu disandang PSB menerusi Soon Koh di Bawang Assan manakala Dudong pula diwakili Datuk Tiong Thai King.

Sebelum ini, Soon Koh menempelak Ching Jen selepas Ahli Parlimen Stampin itu menyatakan DAP menolak untuk bekerjasama dengan ahli politik `katak'.

Soon Koh yang pernah menyertai salah satu komponen GPS, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), berkecil hati dengan kenyataan itu dan meminta Chieng Jen meneliti semula sejarah apabila bapanya sendiri, Chong Siew Chiang, melompat dari SUPP sebelum membawa DAP ke Sarawak pada 1978.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 5:11 PM