ADENAN
ADENAN
Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuching: Populariti Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem akan menjadi cabaran utama DAP yang dijangka berdepan kesukaran mengekalkan kemenangan di kawasan bandar di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 (PRN-11).

Perkara itu diakui Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang berpendapat bukan satu tugas mudah untuk DAP Sarawak mengharungi PRN-11.

Menurutnya, DAP turut menjangkakan beberapa kesulitan dan cabaran untuk menakluk kawasan majoriti kaum Tionghua serta bandar.

“Cabaran ini berikutan pertukaran Adenan daripada Ketua Menteri sebelum ini yang jelas menunjukkan tamatnya era pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud.

“Populariti Adenan dan polisi yang diperkenalkan kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi undi,” katanya.

Chong berkata demikian pada sidang media pengumuman calon DAP Sarawak bagi PRN-11 di Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, semalam.

Bagaimanapun, Chong berkata, DAP yakin mereka tetap akan menang di kawasan yang mereka tandingi, tetapi untuk mendapatkan kejayaan itu akan berdepan beberapa kesukaran.

Pada sidang media itu, Chong mengumumkan DAP akan bertanding di 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN-11.

Chong berkata, berikutan peletakan jawatan Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng selain Larry menarik diri daripada bertanding di DUN Bukit Goram, DAP akan meletakkan calon di kawasan berkenaan.

“Calon bagi kerusi DUN Baleh, Larry Asap akan bertanding di Bukit Goram manakala calon Baleh akan diumumkan kemudian,” katanya.

DAP menyasarkan menang 28 kerusi DUN pada PRN-11 bagi memecahkan majoriti 2/3 DUN Sarawak. Pada PRN-10, DAP bertanding 15 kerusi DUN dan memenangi 12 daripadanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 9:27 AM