Penyokong Barisan Nasional berkumpul di luar dewan ketika proses penamaan calon DUN N06 Tupong di Dewan Al-Muneerah, Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching, pagi tadi. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
Penyokong Barisan Nasional berkumpul di luar dewan ketika proses penamaan calon DUN N06 Tupong di Dewan Al-Muneerah, Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching, pagi tadi. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD

Shah Alam: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kesal calon parti itu akan bertembung dengan sekutunya, DAP di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Batu Kitang, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, 7 Mei ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh DAP, sebaliknya hanya mengetahui menerusi laporan berita pagi tadi.

"Saya tidak tahu (DAP akan bertanding kerusi Batu Kitang)...saya mendapat tahu menerusi laporan berita pagi ini.

"Ketika saya bercakap dengan (Lim) Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) melalui telefon 10 malam tadi, dia tidak beritahu salah seorang daripada (calon) kami perlu menarik diri...beliau mahu teruskan rundingan, maka ini suatu yang malang," katanya selepas merasmikan Program Jom Baca di Perpustakaan Tun Uda di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertembungan calon PKR dan DAP di enam kerusi.

Selain Batu Kitang pada penamaan calon hari ini, kerusi Mulu, Murum, Mambong, Simanggong dan Ngemah menyaksikan pertembungan calon DAP dan PKR.

Sebelum ini, menerusi perjanjian bertulis berhubung pengagihan kerusi yang ditandatangani antara PKR dan DAP pada 7 April lalu, kerusi Batu Kitang, Marudi, Machan, Layar dan Belaga diperuntukkan kepada PKR.

Kerusi Senadin, Mulu, Tasik Biru, Simanggang, Mambong, Bukit Semuja, Ngemah dan Murum akan ditandingi DAP.

Bagaimanapun, PKR dilihat 'mencabuli' persetujuan pembahagian kerusi itu dengan bertanding menentang DAP di Mulu, Mambong, Ngemah, Simanggang dan Murum. DAP pula membalas dengan meletakkan calonnya menentang PKR di Batu Kitang.

Mengulas mengenai perjanjian bertulis berkenaan, Mohamed Azmin mengakui beliau memberi kuasa kepada Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian untuk menandatangani surat kebenaran bagi calon PKR bertanding di lima kerusi yang menjadi perbalahan dengan DAP.

Azmin, bagaimanapun mendakwa beliau membuat keputusan itu berdasarkan mandat diberi presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepadanya untuk menyelesaikan pertikaian kerusi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 8:07 PM