GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali
am@hmetro.commy

am@hmetro.com,my

Kota Kinabalu: Seorang penguat kuasa yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu kluster baharu di Sabah, semalam, sehingga membabitkan lapan daerah di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Kompleks Empat itu menyebarkan jangkitan ke Kota Kinabalu, Papar, Tuaran, Penampang, Putatan, Ranau, Kota Belud dan Sandakan.

"Kes indeks adalah pegawai penguat kuasa lelaki berusia 32 di Aras 4 Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah yang disahkan positif Covid-19 hasil saringan rentas negeri (dari Kota Kinabalu ke Labuan) di klinik swasta pada 5 Mei lalu.

"Susulan kes itu, saringan kontak rakan sekerja mendapati 14 kes positif di Kota Kinabalu dan tiga kes di Tuaran, sementara Kota Belud, Sandakan dan Papar masing-masing mencatatkan dua kes.

"Kluster terbabit turut mencatat satu kes positif Covid-19 masing-masing di Putatan,

Ranau dan Penampang sekali gus menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 27 kes.

"Setakat semalam pasukan kawalan giat menjalankan aktiviti pengesanan kontak," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak dua angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 96 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,953 kes dan satu kes kematian direkodkan di Lahad Datu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 8:27 AM