GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Satu lagi kluster baharu Covid-19 membabitkan pelajar yang tinggal di asrama sekolah dilaporkan di Sabah, hari ini.

Kluster itu dikesan di daerah Tenom, membabitkan pelajar asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenom menjadikannya kluster kedua berkaitan institusi pendidikan selepas Kluster Kemburongoh yang dilaporkan di daerah Ranau, semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Mantailang Atas itu tercetus selepas seorang pelajar asrama SMK Tenom dikesan positif pada 13 November lalu.

"Saringan kontak rapat dalam kalangan rakan sekelas, rakan asrama dan keluarga mendapati 15 orang lagi dijangkiti Covid-19 setakat ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, Kluster Kemburongoh yang membabitkan jangkitan dalam kalangan pelajar asrama dan warden di SMK Kemburuongoh, Ranau, dilapor menjangkiti seramai 22 individu.

Sementara itu, Masidi berkata jumlah jangkitan Covid-19 di Sabah hari ini tidak banyak berubah dengan sebanyak 543 kes baharu berbanding 541 kes yang dilaporkan semalam.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, daerah Kota Kinabalu kekal menjadi penyumbang utama kes baharu di Sabah dengan sebanyak 120 kes, meningkat 27 kes berbanding semalam.

"Ia diikuti daerah Ranau dan Tuaran dengan masing-masing mencatat 51 kes baharu. Daerah Penampang mencatat 40 kes baharu merekodkan penurunan tertinggi sebanyak 20 kes berbanding semalam.

"Turun naik kes di daerah lain adalah pada skala yang kecil, manakala Semporna dan Kalabakan tidak mencatat kes baharu," katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, berdasarkan kes harian di seluruh negara semalam, jangkaan kadar kebolehjangkitan bagi seluruh negara ialah 1.02, manakala 0.97 bagi negeri Sabah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 4:07 PM