GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Majlis serah tugas dikenal pasti menjadi punca penularan empat kes baharu positif Covid-19 yang dilaporkan di Kota Belud, hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, majlis itu mencetuskan kluster baharu dinamakan Kluster Tuguson seperti dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, dua kluster baharu direkodkan di Sabah, hari ini dan satu lagi adalah Kluster Sakti di Lahad Datu.

"Kluster Sakti di Lahad Datu membabitkan tujuh kes iaitu kluster di kilang kelapa sawit.

"Kluster Tuguson di daerah Kota Belud pula membabitkan empat kes yang berpunca daripada majlis serah tugas," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Kes kluster baharu itu adalah antara 352 kes positif Covid-19 dilaporkan di Sabah pada hari ini dengan pertama kali mencatat tiada kes kematian sejak hampir sebulan lalu.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 kerajaan negeri berkata berkata, ia menjadikan kumulatif kes keseluruhan setakat hari ini sebanyak 14,053 kes.

"Pada hari ini, seramai 458 pesakit Covid-19 discaj dari hospital atau sembuh, menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 7,683 orang.

"Seramai 3,848 pesakit lagi sedang menerima rawatan iaitu 730 orang di hospital dan 3,118 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"Bilangan pesakit Covid-19 dalam unit rawatan rapi (ICU) ialah 72 orang, manakala 27 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Masidi berkata, tiada lagi zon hijau di Sabah hari ini berikutan satu kes dikesan di Tongod yang sebelum ini dikategorikan sebagai satu-satunya daerah zon hijau di negeri berkenaan.

Ia bermakna zon kuning kini meningkat kepada lapan daerah iaitu Tongod, Telupid, Pitas, Tenom, Nabawan, Sipitang, Kuala Penyu dan Beluran.

Baki 18 daerah lagi berada dalam zon merah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Tuaran, Lahad Datu, Penampang, Keningau, Semporna, Papar, Kota Belud, Putatan, Beaufort, Kinabatangan, Tambunan, Ranau, Kudat, Kunak dan Kota Marudu.

Buat pertama kali, kes baharu positif Covid-19 di Sabah mencatat dua angka pada hari ini dengan Kota Kinabalu kekal mencatat kes baharu tertinggi sebanyak 96 kes, diikuti Tawau (71) dan Sandakan (46).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 9:50 PM