AHMAD (tengah) pada sidang media selepas Perjumpaan bersama pemimpin Umno Negeri Melaka sebelum ini.FOTO Syafeeq Ahmad.
AHMAD (tengah) pada sidang media selepas Perjumpaan bersama pemimpin Umno Negeri Melaka sebelum ini.FOTO Syafeeq Ahmad.
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Umno menafikan penyebaran satu surat palsu mendakwa pemilihan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri Melaka belum dimuktamadkan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, surat berkenaan jelas mengandungi maklumat yang salah dan mengelirukan.

"Mana ada surat kepada yang dialamatkan dan salinan 'sk' (salinan kepada) sama orangnya.

"Tentulah surat ini palsu. 'Goblok' (tidak bijak) betul yang buat surat 'fake' ini," katanya hari ini.

Terdahulu, tersebar sepucuk surat menggunakan kepala surat Umno dan Setiausaha Agung, memaklumkan wujud kekeliruan dalam menamakan Sulaiman sebagai calon Ketua Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Kandungan surat palsu itu antara lain menyebut penamaan Sulaiman bagi jawatan terbabit bukan sesuatu yang muktamad.

Umno sebelum ini menamakan Sulaiman sebagai calon tunggal bagi jawatan berkenaan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan juga menolak dakwaan kononnya Sulaiman calon Ketua Menteri sementara, sebaliknya menjelaskan penyandang kerusi DUN Lendu itu akan memimpin kerajaan negeri sehingga habis penggal berikutnya.

Menjelang hari mengundi Sabtu ini, hanya Perikatan Nasional (PN) belum menamakan calon Ketua Menteri, namun dijangka berbuat demikian hari ini dengan dua individu disebut-disebut iaitu Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Pakatan Harapan (PH) pula menamakan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari sebagai calon mereka bagi jawatan itu.

Berita Berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 11:46 AM