ANNUAR (tengah) menjadi tetamu undangan Johor FM di Konti Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor.  FOTO BERNAMA
ANNUAR (tengah) menjadi tetamu undangan Johor FM di Konti Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Johor Bahru: Kerajaan bersedia memberi ruang kepada calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor termasuk pembangkang, menggunakan saluran yang disediakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai medium untuk memperkenalkan diri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, inisiatif itu adalah atas usaha untuk melengkapkan proses demokrasi matang.

"Sebenarnya boleh, termasuk juga pembangkang, selagi mana ia tidak disalahgunakan, atas usaha melengkapkan proses demokrasi dan menjadikannya kita demokrasi matang.

"Semua calon itu adalah sama, macam di PRN Melaka, semua calon termasuk Bebas bukan sahaja pembangkang turut diberi ruang untuk mereka memperkenalkan diri, dan rakyat berhak mengenali dan membuat pilihan sendiri, jadi tidak timbul masalah dari segi itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program temu bual Johor FM di RTM Johor di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Che Roslan Che Daud.

Annuar berkata, RTM khususnya saluran televisyen, dan radio seperti Johor FM, diberi ruang untuk merangka program yang bersesuaian sepanjang tempoh PRN terutama selepas proses penamaan calon.

"Ia bertujuan memaparkan maklumat calon supaya lebih mudah dikenali, kita juga faham prosedur operasi standard (SOP) baharu akan ada had pergerakan calon secara individu. Maka di situ RTM boleh main peranan, memberi ruangan sesuai untuk mereka (calon) secara adil dan saksama," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mengadakan mesyuarat khas pada 9 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 January 2022 @ 4:50 PM