HARIMAU kumbang yang ditangkap di Kampung Bayai Baru. FOTO Ihsan Perhilitan
HARIMAU kumbang yang ditangkap di Kampung Bayai Baru. FOTO Ihsan Perhilitan
Ahmad Hasbi


Batu Kikir: Kebimbangan penduduk di Kampung Bayai Baru, dekat sini, mengenai kehadiran seekor harimau kumbang akhirnya terjawab apabila haiwan seberat 40 kilogram (kg) itu tertangkap di dalam perangkap yang dipasang, 30 Oktober lalu.

Harimau kumbang betina itu disedari terperangkap oleh penduduk kampung kira-kira 6 pagi sebelum mereka menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, pihaknya menerima aduan mengenai harimau kumbang berkenaan pada 28 Oktober lalu sebelum mengarahkan pegawainya memasang perangkap pada hari sama.

"Penduduk mendakwa terdapat kesan tapak kaki haiwan berkenaan selain terdapat ternakan yang mempunyai kesan gigitan harimau kumbang. Bertindak atas aduan kami memasang perangkap di lokasi yang dikenal pasti.

"Pada pagi 30 Oktober lalu, penduduk menghubungi Perhilitan memaklumkan seekor harimau kumbang betina berjaya ditangkap sebelum kami bergegas ke lokasi dan mendapati seekor harimau kumbang betina dengan berat kira-kira 40 kg berjaya ditangkap.

"Dengan tertangkapnya haiwan berkenaan ia memberi kelegaan kepada penduduk. Pihak kami turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang memberikan kerjasama," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, harimau kumbang itu dipindahkan sementara ke Pejabat Perhilitan Daerah Jempol, di Bandar Seri Jempol untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut oleh pegawai veterinar.

"Kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak, juga melakukan pemeriksaan terhadap haiwan liar berkenaan sebelum ia dipindahkan dan dilepaskan ke habitat yang sesuai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 9:37 AM