HARIMAU kumbang yang dipindahkan Perhilitan. FOTO Ihsan Perhilitan.
HARIMAU kumbang yang dipindahkan Perhilitan. FOTO Ihsan Perhilitan.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memindahkan seekor harimau kumbang yang masuk perangkap di Kompleks Perikanan Darat Banding, di Gerik, ke habitat bersesuaian, semalam.

Jabatan itu melalui ciapan di laman Twitter, hari ini berkata, harimau kumbang betina seberat 16 kilogram itu dipindah dan dilepaskan ke habitat yang bersesuaian oleh Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, dekat sini.

Menurut ciapan itu, operasi pemindahan ini dijalankan selepas harimau kumbang itu ditangkap oleh Perhilitan Gerik di Kompleks Perikanan Darat Banding, di sini, pada hari sama operasi pemindahan dijalankan.

Menurutnya, perangkap haiwan liar itu dipasang oleh Perhilitan sejak 4 Januari lalu.

"Harimau kumbang ini masuk ke dalam perangkap yang dipasang sejak 4 Januari lalu.

"Pemeriksaan awal mendapati harimau ini berada dalam keadaan baik dan stabil. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit sepanjang operasi ini dijalankan," katanya dalam ciapan itu.

Menurutnya, sebarang aduan berkaitan hidupan liar boleh disalurkan ke Talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1-800-88-5151 atau menghubungi Jabatan Perhilitan berhampiran dengan lokasi aduan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 4:45 PM