HARIMAU kumbang yang memasuki perangkap Perhilitan di Kampung Chembong Kecil Rembau. FOTO ihsan ihsan Jabatan Perhilitan.
HARIMAU kumbang yang memasuki perangkap Perhilitan di Kampung Chembong Kecil Rembau. FOTO ihsan ihsan Jabatan Perhilitan.
Mohd Amin Jalil


Rembau: Seekor harimau kumbang jantan memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di Kampung Chembong Kecil, dekat sini, pagi tadi.

Pengarah Perhilitan negeri, Wan Mat Wan Harun berkata, harimau kumbang memasuki perangkap pada jam 8.30 pagi.

"Sebaik menerima aduan penduduk pada 21 Mac lalu yang mendakwa kehilangan dan kematian kambing mereka, anggota Perhilitan bertindak mengesan jejak harimau kumbang terbabit.

"Selepas menemui bukti, anggota Perhilitan memasang perangkap pada 30 Mac lalu dan berjaya menangkap harimau kumbang itu.

"Sebaik menerima maklumat itu, 10 anggota Perhilitan Negeri Sembilan memeriksa perangkap dan mendapati harimau kumbang itu berada dalam keadaan sihat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, ini adalah kali ketiga kes harimau kumbang berjaya ditangkap selepas pada 4 Mac lalu, seekor harimau kumbang jantan seberat 50 kilogram memasuki perangkap yang dipasang di Kampung Ulu Nuri, Johol.

Katanya, pada 24 Mac lalu seekor lagi harimau kumbang seberat 52 kilogram memasuki perangkap di Kampung Solok Baing, Kendong, dekat sini.

"Haiwan itu akan diberi rawatan sepenuhnya oleh pegawai veterinar sebelum dilepaskan di habitatnya yang berada di bawah jagaan Perhilitan di negeri ini dalam tempoh terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 5:15 PM