Ekhwan Haque Fazlul Haque


Melaka: Perang bendera dan poster calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih belum 'panas'.

Tinjauan sekitar negeri ini mendapati, jentera pilihan raya parti dan calon yang bertanding masih giat menyiapkan bahan kempen.

Bagaimanapun, bendera mula dinaikkan di beberapa lokasi antaranya di Kampung Lereh, Merlimau, Serkam, Sungai Rambai, di sini, sejak semalam.

Ini berikutan prosedur operasi standard (SOP) berkempen lebih ketat dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengekang penularan Covid-19 pada PRN Melaka.

Petugas pilihan raya juga mengakui masih menunggu arahan lanjut daripada parti masing-masing untuk menggerakkan jentera kempen.

Pada PRN Melaka, SPR membenarkan parti politik dan calon yang bertanding berkempen menggunakan kaedah menaiki lori atau van bagi mendekati pengundi dengan perlu mendapat permit polis terlebih dulu.

Penganjuran ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal tidak dibenarkan sepanjang tempoh PRN Melaka.

Kini, calon yang bertanding perlu bijak menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok untuk berkempen dan mendekati pengundi.

Kaedah itu dianggap 'adil' untuk semua calon kerana mereka perlu tampil dengan kreativiti masing-masing bagi menarik perhatian pengundi.

BENDERA parti mula memenuhi laluan utama di Kampung Bukit Pulau, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
BENDERA parti mula memenuhi laluan utama di Kampung Bukit Pulau, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 2:17 PM