PENUNGGANG jets ki menyusuri Sungai Batang Oya untuk berkempen bagi calon GPS di Dun Dalat. FOTO Ihsan Pembaca.
PENUNGGANG jets ki menyusuri Sungai Batang Oya untuk berkempen bagi calon GPS di Dun Dalat. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Roji Kawi


Mukah: Prosedur operasi standard (SOP) ketat sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) menuntut parti bertanding lebih kreatif dan mempelbagaikan kaedah untuk mendekati pengundi.

Tertakluk di bawahnya, parti digalakkan untuk berkempen secara dalam talian dan tidak bersemuka kecuali bagi 64 kawasan yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana capaian internet yang kurang stabil.

DUN Dalat salah satu daripada kawasan yang dibenar kempen bersemuka dengan sebahagian besar kediaman penduduknya terletak di tebing sungai.

Atas faktor itu, jentera pilihan raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggunakan jet ski untuk berkempen di sepanjang Sungai Batang Oya dan membabitkan 10 penunggang.

Calon GPS Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya memulakan kempen menerusi 10 penunggang jet ski itu semalam, dan menyusuri Sungai Batang Oya dari jeti Oya menghala ke hulu hingga ke pekan Dalat.

"Sepanjang perjalanan itu, penunggang jet ski mengibarkan bendera GPS dan inilah antara kaedah yang kami gunakan untuk berkempen ketika SOP ketat dilaksanakan ketika ini," katanya.

Fatimah mempertahankan DUN Dalat yang disandang selama empat penggal sejak 2001, bakal berhadapan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Salleh Mahli pada PRN-12, 18 Disember ini.

Dalam pilihan raya terdahulu, Fatimah menang dengan majoriti 6,330 undi, menewaskan calon PKR Sim Eng Hua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 9:53 AM