HAMZAH Zainuddin. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
HAMZAH Zainuddin. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Ahmad Suhael Adnan


Ayer Keroh: Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi sedikit kelonggaran dalam prosedur operasi standard (SOP) kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, supaya parti bertanding boleh memperkenalkan calon kepada pengundi.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, SPR perlu mencari kaedah tertentu bagi memberi keadilan kepada parti yang terbabit dalam perjalanan demokrasi di Melaka ketika ini.

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran itu masih perlu tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi memastikan PRN Melaka tidak mencetuskan penularan Covid-19 di Melaka dan seluruh negara.

"Saya rasa kalau (SOP PRN Melaka) menjadi cabaran kepada PN, ia juga sama kepada semua parti lain.

"Bagi PN saya mohon semua ahli atau jentera parti untuk tidak melanggar SOP yang diputuskan bagi PRN Melaka, bagaimanapun saya juga nak melihat supaya SPR dapat mencari satu kaedah untuk memberikan ruang supaya rakyat benar-benar dapat memilih calon yang mereka nak pilih.

"Jadi mungkin dalam satu atau dua hari lagi, dapat diberikan sedikit ruang, apa salahnya," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Media PRN Melaka di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dilaporkan menggesa pihak berkuasa meneliti semula SOP sepanjang tempoh kempen PRN Melaka yang dilihat terlalu ketat hingga menyukarkan calon memperkenalkan diri dan isu yang diperjuangkan kepada pengundi.

Ditanya mengenai beberapa laporan polis yang dibuat berhubung pelanggaran SOP ketika penamaan calon semalam, Hamzah berkata, polis perlu tegas dalam menguatkuasakan Akta 342 sepanjang PRN Melaka berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pihak berkuasa juga perlu menggunakan budi bicara supaya setiap calon, khususnya calon baharu boleh memperkenalkan diri kepada pengundi.

"Saya minta polis tegas dari segi Akta 342, tetapi tengok juga budi bicara untuk setiap calon dapat melakukan pengenalan diri dan berkempen supaya rakyat dapat membandingkan antara parti bertanding.

"Buat masa ini kita perlu berhati-hati sebelum mengambil apa-apa tindakan kerana perlu ada budi bicara, namun jangan sampai melanggar Akta 342.

"Kalau tidak, boleh menjadi masalah lebih besar kerana wabak Covid-19 bukan saja boleh merebak di satu tempat, tapi di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 6:46 PM