FOTO hiasan
FOTO hiasan
Ahmad Suhael Adnan


Melaka: Keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diperoleh dan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekitar 10 malam esok.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya akan berusaha memastikan keputusan PRN boleh dimaklumkan awal dan tidak lebih daripada 12 tengah malam.

Bagaimanapun, katanya, ia bergantung pada kelancaran perjalanan hari mengundi esok, khususnya membabitkan kerjasama pengundi, petugas SPR serta ejen pusat mengundi daripada parti politik yang bertanding.

"SPR jangka pengumuman keputusan PRN Melaka dapat dibuat sebelum 12 tengah malam. Saya jangka 10 malam sudah dapat keputusan penuh.

"Ini tertakluk kerjasama semua petugas kita, selain ejen calon bertanding di semua pusat pengundian. Jika kerjasama baik, Insya-Allah kita dapat umum awal," katanya pada sesi temu bual eksklusif dengan NSTP yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.

Mengenai perjalanan kempen PRN, Abdul Ghani secara keseluruhan berpuas hati terhadap pematuhan parti dan calon bertanding meskipun terdapat beberapa pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, calon dan parti politik dilihat matang pada PRN Melaka dan berusaha mematuhi SOP ditetapkan dengan menggunakan kreativiti tersendiri untuk berkempen dan menyampaikan maklumat kepada pengundi.

"Secara keseluruhan, parti politik bertanding dilihat matang. Kita lihat sikap proaktif parti dan calon dengan ada yang menggunakan van, lori dan media sosial untuk mendekati pengundi.

"Kaedah berkempen ini boleh digunakan bagi pilihan raya di kawasan lain jika penularan Covid-19 masih belum reda pada masa depan," katanya.

Kempen PRN Melaka memasuki hari terakhir hari ini selepas berlangsung sejak Isnin minggu lalu, dan bakal berakhir pada jam 11.59 malam ini.

Sejumlah 476,037 pengundi berdaftar pada PRN Melaka layak untuk mengundi antara jam 8 pagi hingga 5.30 petang esok, dengan 7,601 individu sudah mengundi secara pos dan 10,390 anggota polis, tentera dan pasangan pula mengundi awal Selasa lalu.

PRN Melaka dilaksanakan selepas Dewan Undangan Negeri Melaka (Dun) dibubarkan pada 4 Oktober lalu, susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Melaka mempunyai 28 kawasan Dun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 5:18 PM