KAKITANGAN perubatan melakukan ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK-Antigen. FOTO Danial Saad
KAKITANGAN perubatan melakukan ujian saringan Covid-19 menggunakan RTK-Antigen. FOTO Danial Saad
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 mencatatkan peningkatan dengan 4,543 kes dilaporkan hari ini berbanding 4,343 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini mencecah 2,510,852 kes.

Beliau berkata, bagi kes sembuh pula adalah 7,348 kes hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 2,419,743.

"Daripada 4,543 kes dilaporkan hari ini, sebanyak 15 kes import direkodkan iaitu membabitkan 13 warganegara dan dua bukan warganegara.

"Selebihnya adalah penularan tempatan iaitu 4,528 kes yang membabitkan 4,339 warganegara (95.8 peratus) dan 189 bukan warganegara (4.2 peratus)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 534 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU), hari ini yang membabitkan 529 kes disahkan Covid-19 dan lima kes disyaki, kemungkinan serta kes dalam siasatan.

Kes memerlukan bantuan pernafasan pula, katanya, adalah sebanyak 263 kes iaitu 205 kes disahkan Covid-19 dan 58 kes disyaki, kemungkinan serta kes dalam siasatan.

"Daripada 4,543 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 112 kes (2.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,431 kes (97.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Sebanyak enam kluster baharu dicatatkan hari ini menjadikan 5,812 kluster kumulatif.

"Jumlah kluster yang sudah tamat adalah 5,498 kluster manakala jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 314 kluster," katanya.

Beliau berkata, maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web http://covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 7:22 PM