DR Noor Hisham. FOTO Luqman Hakim Zubir.
DR Noor Hisham. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 mencatatkan peningkatan dengan 5,403 kes dilaporkan hari ini, berbanding 4,543 kes dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini mencecah 2,516,255 kes.

Beliau berkata, sebanyak 5,311 kes dilaporkan sembuh menjadikan jumlah kumulatif 2,425,054 kes atau 96.38 peratus.

"Daripada 5,403 kes dilaporkan hari ini, sebanyak 25 kes import membabitkan 16 warganegara dan sembilan bukan warganegara.

"Kes yang membabitkan penularan tempatan pula adalah sebanyak 5,378 kes iaitu 5,155 warganegara atau 95.9 peratus dan 223 bukan warganegara atau 4.1 peratus," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 545 kes yang mana 504 disahkan Covid-19, 41 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

Beliau berkata, kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 270 kes iaitu 199 kes disahkan Covid-19, 71 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.

"Daripada 5,403 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 102 kes (1.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 5,301 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Lima kluster dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kluster direkodkan adalah 5,817 kluster.

"Jumlah kluster yang telah tamat adalah 5,510 kluster manakala jumlah kluster masih aktif dengan kebolehjangkitan adalah 307 kluster," katanya.

Katanya, maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 7:41 PM