Abang Johari Abang Openg.
Abang Johari Abang Openg.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Masyarakat Cina perlu terus memberi sokongan kepada parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan wakil mereka turut serta dalam usaha membangunkan Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, sebagai parti untuk semua rakyat Sarawak, GPS membentuk kerajaan dengan penyertaan semua kaum termasuk masyarakat Cina.

Justeru katanya, parti komponen yang dianggotai majoriti masyarakat Cina iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memerlukan sokongan berterusan bagi memastikan wakil mereka terus berada dalam kerajaan apabila GPS menerima mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) tidak lama lagi.

"Kita mahu membentuk kerajaan yang kuat (selepas mendapat mandat baharu) bagi memastikan pembangunan terus dilaksanakan dengan lancar.

"Untuk itu kita memerlukan penyertaan semua kaum termasuk sokongan berterusan masyarakat Cina," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tebingan Batu Kawa, di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian serta Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian kepada masyarakat Cina termasuk menyediakan geran tahunan berjumlah RM10 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang diagihkan setiap tahun.

Mengenai pembangunan di kawasan masyarakat Cina khususnya di Bukit Assek di Sibu, beliau berkata, ia sudah dirancang sejak beberapa tahun lalu dan tiada kaitan dengan pilihan raya.

"Bukit Assek yang terletak dalam bandar Sibu itu tidak terurus dengan baik dan kita sudah merangka pelan induk pembangunan semula kawasan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 6:55 PM