Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menetapkan pendirian untuk terus memberikan sokongan padu kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menerajui kepimpinan negara.

Pengerusinya Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, keputusan itu dicapai sebulat suara pada mesyuarat Majlis Tertinggi GPS, hari ini.

"Mesyuarat hari ini diadakan khusus untuk membincangkan situasi politik semasa khususnya yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

"Hasil mesyuarat itu, semua komponen GPS mencapai kata sepakat untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya.

ABANG Johari menunjukkan dokumen sokongan kepada Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat khas GPS. FOTO Nadim Bokhari
ABANG Johari menunjukkan dokumen sokongan kepada Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat khas GPS. FOTO Nadim Bokhari

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat itu di Ibu Pejabat PBB, di Jalan Bako, Petra Jaya, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing dan Timbalan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Nelson Balang Rining.

Abang Johari berkata, pada mesyuarat itu GPS turut berpendirian, ketika ini bukan masa sesuai untuk berpolitik kerana ia boleh menggugat kestabilan.

"Inilah masa bagi semua rakyat Malaysia untuk bersatu bagi membawa negara keluar daripada krisis pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 5:11 PM