Foto hiasan
Foto hiasan
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Mangsa banjir di negeri ini semakin bertambah apabila dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kota Setar hari ini berikutan paras air yang meningkat.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kedah seramai 793 mangsa daripada 221 keluarga di 12 PPS di empat daerah yang dilanda banjir iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, dua PPS yang baru dibuka di Kota Setar adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent yang menempatkan seramai lapan mangsa daripada dua keluarga.

Menurutnya, PPS SK Titi Gajah pula menempatkan 49 mangsa dari 17 keluarga dan kedua-dua PPS itu dibuka pada 8 malam hari ini.

"PPS di SK Langgar kekal seramai 80 mangsa daripada 23 keluarga, SK Suka Menanti seramai 67 mangsa daripada 25 keluarga, manakala SK Darul Hikmah seramai 117 orang dan SK Haji Wahab seramai 32 mangsa daripada tujuh keluarga.

"Ini menjadikan jumlah PPS di daerah ini adalah enam buah yang menempatkan jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah ini adalah seramai 353 mangsa daripada 106 keluarga setakat 8 malam ini," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Muaz berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pendang pula meningkat seramai 293 orang daripada 76 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu di Dewan Rakan Sukan Tanah Merah seramai 225 orang daripada 54 keluarga.

Beliau berkata, PPS Dewan Cenderawasih pula menempatkan seramai 68 mangsa daripada 22 keluarga.

"Dua PPS di Pokok Sena menempatkan seramai 47 mangsa daripada 14 keluarga yang ditempatkan di PPS Surau Kampung Permatang Limau iaitu 26 mangsa daripada lapan keluarga dan PPS SK Tualang seramai 21 mangsa dari enam keluarga.

"PPS di Kubang Pasu masih kekal dua buah yang menempatkan jumlah keseluruhan mangsa seramai 100 orang daripada 25 keluarga.

"Seramai 72 mangsa daripada 20 keluarga ditempatkan di SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang, manakala PPS SK Malau pula menempatkan 28 mangsa daripada lima keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 11:53 PM