SUKARELAWAN JKM Azman Zakaria membuat pemantauan kepada mangsa banjir di PPS SMK Changlun. FOTO Syaharim Abidin
SUKARELAWAN JKM Azman Zakaria membuat pemantauan kepada mangsa banjir di PPS SMK Changlun. FOTO Syaharim Abidin
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah semakin berkurangan apabila 1,383 mangsa daripada 468 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah setakat jam 8 pagi hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, namun setakat ini jumlah PPS yang masih aktif adalah 12 PPS di empat daerah.

Beliau berkata, daerah Kota Setar masih mencatatkan seramai 671 mangsa daripada 236 keluarga yang masih ditempatkan di lima PPS.

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman menempatkan seramai 289 mangsa daripada 98 keluarga manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas menempatkan seramai 93 mangsa daripada 32 keluarga dan SK Seri Gunung menempatkan seramai 128 mangsa daripada 39 keluarga.

"PPS di SK Titi Gajah pula menempatkan seramai 67 mangsa daripada 36 keluarga dan PPS SMK Alor Merah pula menempatkan seramai 94 mangsa daripada 31 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di empat PPS di daerah Baling pula mencatatkan seramai 458 daripada 127 keluarga.

Beliau berkata, empat PPS di Baling yang masih aktif adalah di SK Iboi seramai 94 mangsa daripada 36 keluarga, PPS SMK Jerai seramai 23 mangsa daripada empat keluarga, SK Kampung Keda pula seramai 80 mangsa daripada 22 keluarga dan Surau Annur pula seramai 261 mangsa daripada 65 keluarga.

"Dua PPS di Pokok Sena pula iaitu PPS SK Bukit Hijau iaitu seramai 147 mangsa daripada 35 keluarga dan PPS Maahad Tarbiyah Derang mencatatkan seramai 54 mangsa daripada 13 keluarga.

"PPS di SK Malau di daerah Kubang Pasu pula mencatatkan seramai 53 mangsa daripada 9 keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2023 @ 8:32 AM