PENDUDUK kampung menggunakan bot meninjau keadaan sawah yang dinaiki air di Kampung Kandai, Mukim Tajar akibat limpahan sungai Kedah, 4 November lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
PENDUDUK kampung menggunakan bot meninjau keadaan sawah yang dinaiki air di Kampung Kandai, Mukim Tajar akibat limpahan sungai Kedah, 4 November lalu. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan penurunan dengan 453 orang daripada 118 keluarga yang masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini.

Ini berikutan satu lagi PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent di daerah Kota Setar ditutup sepenuhnya jam 10 pagi hari ini.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, setakat jam 12 tengahari ini, jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Kota Setar adalah seramai 212 mangsa daripada 53 keluarga.

Menurutnya, jumlah itu menurun berbanding 249 mangsa daripada 64 keluarga yang dilaporkan pada jam 8 pagi ini.

"PPS yang masih beroperasi di daerah Kota Setar adalah di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Darul Hikmah menempatkan seramai 25 mangsa daripada lima keluarga, PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent menempatkan seramai 134 mangsa daripada 37 keluarga.

"SMK Simpang Kuala menempatkan seramai 65 mangsa daripada 16 keluarga setakat ini. PPS di SK Suka Menanti pula masih beroperasi walaupun tiada lagi mangsa banjir ditempatkan di situ setakat ini.

"Selain itu, dua PPS di Pendang menurun kepada 241 mangsa daripada 65 keluarga yang mana 170 mangsa daripada 43 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah manakala PPS Dewan Cenderawasih pula menempatkan seramai 71 mangsa daripada 22 keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 2:06 PM