Zaid Salim

Kuala Nerus: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, bakal menjadi pusat pengumpulan bagi produk berasaskan pokok gelam.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, kementeriannya bersedia membantu meningkatkan aspek komersial bagi menggalakkan komuniti memanfaatkan potensi pokok gelam.

Menurutnya, ini kerana sebanyak 60 peratus pengeluaran pokok gelam di negara ini datang dari Terengganu.

"Kita ada peruntukan khas di bawah program Malaysia Social Innovation (MySI) seperti bantuan peralatan kajian dan kemudahan lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Projek Minyak Gelam yang dibangunkan melalui Projek Berimpak Tinggi (HIP6) YIM - Inovasi Inklusif di Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI) UniSZA, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah ESERI, Prof Dr Hafizan Juahir.

Menurut Amzad, banyak potensi yang boleh diteroka daripada pokok gelam selain dijadikan sebagai pendapatan sampingan terutama kepada golongan B40.

Sementara itu, Hafizan berkata, produk minyak gelam yang dihasilkan institut berkenaan sudah berada di pasaran sejak Oktober 2018.

AHMAD Amzad (kanan) bersama Prof Dr Fadzli (dua kanan) melihat anak pokok gelam yang ditanam semasa sesi lawatan tapak Projek Minyak Gelam yang dibangunkan melalui Projek Berimpak Tinggi (HIP6) di (UniSZA). FOTO Ghazali Kori
AHMAD Amzad (kanan) bersama Prof Dr Fadzli (dua kanan) melihat anak pokok gelam yang ditanam semasa sesi lawatan tapak Projek Minyak Gelam yang dibangunkan melalui Projek Berimpak Tinggi (HIP6) di (UniSZA). FOTO Ghazali Kori

Menurutnya, bagi mencapai sasaran menjadikan ESERI sebagai pusat pengumpulan produk berasas tanaman itu, pihaknya akan meningkatkan aktiviti pemasaran dan pengeluaran produk berkenaan.

"Selain minyak, produk berasaskan tanaman ini juga akan dikembangkan dalam bidang perubatan dan kosmetik bagi tujuan kesihatan.

"Aktiviti pengeluaran dan pembungkusan pula akan dijalankan di peringkat komuniti dengan pembabitan penduduk kampung bagi membantu mereka menjana pendapatan tambahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 6:25 PM