Zaid Salim


Kuala Nerus: Minyak pati daun gelam yang tumbuh meliar boleh menghasilkan produk kecantikan, kebersihan, alahan kulit dan kesihatan, sekali gus menjana pendapatan lumayan.

Daun pokok gelam atau nama saintifiknya 'Melaleuca Cajuputi' turut mempunyai nilai komersial tinggi dan sudah lama digunakan secara tradisional oleh masyarakat zaman dahulu untuk kesihatan terutama menyembuhkan sakit saraf selain merawat luka kecil.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Kampung Padang Jejawi, di sini, Hashim Jusoh, 51, berkata, sejak dahulu lagi, penduduk kampung itu menggunakan daun gelam untuk tujuan perubatan dan kesihatan.

Beliau berkata, menyedari ia boleh memberikan pendapatan sampingan, penduduk memproses daun itu secara tradisional untuk menghasilkan minyak sebelum dijual kepada masyarakat tempatan.

"Kami memulakan perniagaan secara kecil-kecilan sejak 2018 dan proses menghasilkan minyak ketika itu dilakukan secara tradisional dengan menggunakan dapur gas.

"Pengeluaran ketika itu dilakukan berdasarkan permintaan selain menjual secara dalam talian sebelum dikembangkan dengan bantuan peralatan moden oleh ESERI (Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur) bertempat di Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA).

"Kerjasama dengan ESERI bermula selepas kami mengadakan pameran di Pulau Warisan tiga tahun lalu dan menyedari esktrak daun gelam ini berpotensi untuk dikomersialkan, ESERI memberi peluang kepada kami untuk membekalkan minyak mentah untuk diproses menjadi pelbagai produk menggunakan kaedah saintifik dan kajian menyeluruh ," katanya ketika ditemui pada majlis lawatan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim ke ESERI, semalam.

Beliau berkata, proses penghasilan minyak dilakukan secara saintifik oleh ESERI, sekali gus mampu menjana lebih pendapatan sampingan kepada penduduk kampung berkenaan.

Menurutnya, semua urusan itu dikendalikan Kelab Belia Kampung Padang Jejawi menggunakan empat mesin untuk memproses minyak mentah dan sehingga kini terdapat 15 ahli mengusahakan projek berkenaan dengan pendapatan purata setiap ahli RM800 sebulan.

"Kuantiti minyak mentah dihasilkan bergantung kepada kitaran mesin berkenaan.

"Satu kitaran mengambil masa selama empat jam dengan kuantiti daun sebanyak lima kilogram boleh menghasilkan minyak mentah sebanyak 30 hingga 40 mililiter (ml).

"Jadi setiap empat jam, kita boleh menghasilkan 120 hingga 160 ml minyak gelam mentah daripada empat mesin," katanya.

Sementara itu, Pengarah ESERI, Profesor Madya Hafizan Juahir berkata, pihaknya bekerjasama dengan komuniti kampung itu yang dikelilingi pokok berkenaan menyebabkan ia mudah diperoleh.

Beliau berkata, selain itu, pihaknya memiliki ladang pokok gelam di kawasan Jambu Bongkok, Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 3:40 PM
Ahli Kelab Belia  Kampung Padang Jejawi melakukan proses Pengekstrakan minyak daun pokok gelam ketika ditemui di Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI). FOTO GHAZALI KORI
Ahli Kelab Belia Kampung Padang Jejawi melakukan proses Pengekstrakan minyak daun pokok gelam ketika ditemui di Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI). FOTO GHAZALI KORI