KAKITANGAN Perhilitan menangkap beruang betina yang berkeliaran di Kampung Paya Pulai. FOTO ihsan Perhilitan
KAKITANGAN Perhilitan menangkap beruang betina yang berkeliaran di Kampung Paya Pulai. FOTO ihsan Perhilitan
Mohd Rafi Mamat


Temerloh: Orang ramai di Kampung Paya Pulai, di sini digemparkan dengan kehadiran seekor beruang yang tersesat sejak malam kelmarin.

Rakaman video orang awam menunjukkan beruang berkenaan berkeliaran di sekitar kawasan termasuk di kawasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) dan juga berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seberang Temerloh.

Bagaimanapun, haiwan liar itu dilihat cuba melarikan diri daripada orang ramai dan tidak cuba menyerang atau mencederakan sesiapa.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya menangkap beruang berkenaan kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

"Operasi menangkap haiwan berkenaan dilakukan kakitangan Perhilitan Temerloh dengan mendapat kerjasama daripada beberapa penduduk kampung.

"Beruang betina seberat 60 kilogram berusia antara dua hingga tiga tahun itu dibawa ke Pusat Konservasi Hidupan Liar Jenderak Selatan, di sini bagi rawatan dan pemantauan," katanya di sini, semalam.

Menurut Rozidan, tiada sebarang kecederaan berlaku pada kakitangan Perhilitan dan orang awam ketika operasi menangkap haiwan liar berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan mendapati beruang berkenaan juga dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, beruang betina uang dipercayai tersesat sebelum berkeliaran dalam kawasan hospital dan berhampiran sekolah, kemungkinan keluar dari hutan untuk mencari makan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 12:17 PM