FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nazdy Harun


Kuala Terengganu: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor beruang matahari di Kampung Telaga Batin, Kuala Nerus, semalam.

Pengarahnya Loo Kean Seong berkata, beruang matahari betina seberat 65 kilogram (kg) sebelum itu dilihat berkeliaran berhampiran sebuah padang golf di Tok Jembal, Kuala Nerus.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan pertama pada 26 Mac dan pada hari sama unit kawalan hidup liar ke lokasi bagi menjejak haiwan terbabit.

Katanya, pada 27 Mac pemasangan perangkap dilakukan di Kampung Telaga Batin, Kuala Nerus dan semalam pada jam 7.15 pagi haiwan terbabit memasuki perangkap.

"Program Translokasi bermula kira-kira jam 10 pagi dan tamat kira-kira jam 5 petang dengan mengambil masa selama tujuh jam.

"Beruang matahari betina itu dianggarkan berusia lima tahun dan dilepaskan ke hutan semula jadi yg sesuai untuk spesies itu," katanya.

Akhbar ini kelmarin melaporkan seekor beruang matahari dikesan di kawasan berhampiran sebuah padang golf di Tok Jembal, Kuala Nerus.

Sebelum pasukan Perhilitan Kuala Terengganu, yang menerima laporan berusaha menjejaki beruang matahari berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 11:46 AM