KEADAAN beruang jantan yang kudung kaki kiri dan anak gajah betina yang cacat kaki kanan akibat jerat dawai dipasang di dalam hutan. FOTO Ihsan Perhilitan
KEADAAN beruang jantan yang kudung kaki kiri dan anak gajah betina yang cacat kaki kanan akibat jerat dawai dipasang di dalam hutan. FOTO Ihsan Perhilitan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Putus kaki dan cacat kesan penggunaan jerat kabel atau dawai dipasang pemburu haram. Itu dialami seekor beruang dan anak gajah betina yang menderita akibat perbuatan kejam terbabit.

Bagaimanapun, kedua-dua haiwan liar malang itu berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa kerakusan kumpulan pemburu haram.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, beruang yang putus kaki itu berjaya diselamatkan susulan aduan kehadiran beruang matahari di Hulu Selangor pada 22 September lalu.

Menurutnya, Perhilitan Negeri Selangor kemudian segera menjalankan siasatan dan memasang perangkap di lokasi haiwan liar itu dikesan.

"Beruang cacat itu akhir berjaya ditangkap pada 7.40 pagi Selasa lalu. Sejurus menerima aduan, kakitangan Perhilitan terus ke lokasi dan operasi pemindahan dijalankan sekitar 8.30 pagi.

"Operasi dijalankan dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun. Beruang itu kemudian dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk pemantauan dan sesi rawatan selanjutnya," katanya.

Kadir berkata, pemeriksaan lanjut terhadap beruang jantan itu mendapati kaki kiri haiwan liar itu kudung dan terdapat kesan kecederaan lama dipercayai terkena jerat.

"Beruang itu kini berada dalam keadaan stabil dan sihat selepas diberi rawatan oleh kakitangan perubatan Perhilitan," katanya.

Dalam kes berasingan, seekor gajah betina turut diselamatkan Perhilitan Terengganu sebelum ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Terengganu pada 25 Ogos lalu.

Anak gajah betina diberi nama Ellie itu mengalami kecacatan kekal pada kaki kanan hadapan berikutan terkena jerat dawai buatan manusia tidak bertanggungjawab.

Susulan itu Perhilitan berusaha menghasilkan kaki palsu untuk anak gajah itu. Kecacatan kaki Ellie adalah bukti penggunaan jerat amat berbahaya dan mendatangkan kecederaan yang serius pada hidupan liar.

Kadir sebelum ini mencadangkan hukuman lebih berat terhadap pemburuan haram membabitkan denda maksimum RM1 juta dan penjara sehingga 15 tahun bagi membanteras kegiatan itu.

Ia bagaimanapun memerlukan pindaan terhadap Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 11:02 PM