Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kemunculan tiga beruang matahari yang berkeliaran di Kampung Jerek di sini, membimbangkan lebih 3,000 penduduk di kawasan itu, sejak dua bulan lalu.

Penduduk mendakwa, salah seekor beruang terbabit turut membuat sarang di atas pokok rambutan berhampiran dengan rumah penduduk kampung.

Penduduk, Sribani Zakaria, 48, berkata, penduduk pernah terserempak dengan haiwan terbabit yang mempunyai ketinggian seperti lelaki dewasa.

"Beruang terbabit kini membuat sarang di atas pokok rambutan berhampiran rumah saya. Empat hari lalu, seorang penduduk sempat melihat beruang terbabit turun dari pokok rambutan di belakang rumah.

"Pada mulanya, dia mendengar bunyi ranting dipatahkan, lalu mengajak anak untuk melihat ke belakang rumah. Mereka terkejut apabila melihat seekor beruang sedang berjalan berdiri dan mempunyai ketinggian seperti lelaki dewasa," katanya ketika ditemui di Kampung Jerek, di sini.

Menurut Sribani, penduduk kini bimbang haiwan liar terbabit bertindak ganas sekiranya terserempak dengan penduduk kampung.

"Sekarang penduduk bimbang sekiranya haiwan terbabit bertindak ganas apabila terserempak dengan penduduk kampung terutama pada waktu pagi ketika ingin ke surau untuk solat Subuh berjemaah.

"Saya difahamkan beruang terbabit akan kembali ke sarang di atas pokok rambutan ini, pada 6 petang atau 7 malam dan turun pada waktu pagi antara 5 atau 6 pagi," katanya.

Bagi Sukri Abdullah, 57, pula berkata, kehadiran beruang itu adalah pertama kali sepanjang 25 tahun dia menetap di Kampung Jerek.

"Selain berkeliaran dalam kampung, beruang itu juga dijumpai berada di kawasan Sungai Jerek dan tempat pembuangan sampah sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk.

"Beruang terbabit mungkin lapar dan datang ke kawasan perkampungan kami untuk mencari makanan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sabariah Mohamed Sayuti, 43, berkata, pada minggu lalu, perangkap sudah dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangkap beruang terbabit, namun usaha itu masih belum berhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 10:11 AM
Penduduk kampung menunjukkan kesan cakaran kuku beruang pada pokok rambutan berhampiran rumah penduduk di Kampung Jerek, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Penduduk kampung menunjukkan kesan cakaran kuku beruang pada pokok rambutan berhampiran rumah penduduk di Kampung Jerek, di sini. FOTO Paya Linda Yahya