Mohammad Hamdan (kiri) bertanyakan sesuatu kepada anggota bomba ketika meninjau persiapan kesiapsiagaan banjir Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak hari ini. FOTO BERNAMA
Mohammad Hamdan (kiri) bertanyakan sesuatu kepada anggota bomba ketika meninjau persiapan kesiapsiagaan banjir Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu menyusun strategi penyelamatan mangsa banjir yang dijangka berlaku mulai bulan ini hingga Mac tahun depan dengan mengambil iktibar daripada kejadian sebelum ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, tahun lalu pihaknya memberi tumpuan penuh di kawasan dikenalpasti sebagai 'hotspot', namun bencana alam itu berlaku dengan teruk di lokasi tidak dijangka.

Justeru, katanya, persediaan lebih rapi dibuat dengan menempatkan logistik di pangkalan hadapan bagi memudahkan ia digerakkan ke lokasi dilanda banjir.

"Cabaran utama kita sekarang ialah apabila ada tempat dikenalpsti sebagai 'hotspot', namun banjir melanda di tempat lain.

"Ini berlaku tahun lalu. Kita memberi tumpuan di Maran dan Lipis di Pahang, tetapi tempat lain pula dilanda banjir dengan teruk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau kesiapsiagaan bencana banjir dan ujian peralatan serta aset logistik banjir di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman.

Mohammad Hamdan berkata, seramai 12,500 anggota bomba kini diletakkan dalam keadaan bersedia sepenuhnya di seluruh negara dan enam negeri diletakkan dalam senarai tumpuan utama iaitu Sarawak, Sabah, Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Bagaimanapun, katanya, anggota di negeri lain turut diarah mengadakan persediaan kerana dikhuatiri bencana berlaku tanpa diduga.

"Selain itu anggota di negeri lain contohnya Selangor, Kuala Lumpur atau Putrajaya perlu bersedia, bukan sahaja menghadapi kemungkinan di kawasan mereka, tetapi bersedia untuk digerakkan membantu negeri lain yang berlaku banjir ekstrim.

"Apabila dikerah membantu negeri lain, mereka perlu mengetahui keadaan atau selok belok di negeri itu dan ini memerlukan mereka bekerjasama dengan anggota bomba atau masyarakat tempatan bagi memudahkan mereka melaksanakan tugas penyelamatan," katanya.

Mengenai persediaan di Sarawak, beliau berkata, seramai 1,300 anggota JBPM kini diletakkan dalam keadaan bersedia di 36 BBP di seluruh negeri.

Menurutnya, Sarawak memiliki BBP paling banyak di negara ini dan memiliki dua helikopter yang ditempatkan di Miri.

Katanya, helikopter itu perlu untuk melakukan tugas menyelamat dan penghantaran bantuan ke kawasan penempatan penduduk jauh di pedalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 5:44 PM