Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangor akan menggunakan beberapa balai penghulu atau aset kerajaan negeri untuk dijadikan pos pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pangkalan hadapan itu akan dijadikan lokasi penempatan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi atau badan lain yang akan berkhidmat bagi proses penyelamatan terhadap sebarang kemungkinan bencana.

"Kita akan mengenalpasti beberapa balai penghulu atau aset kerajaan negeri yang boleh dijadikan pangkalan hadapan bagi agensi yang akan terbabit dalam proses penyelamatan ketika sebarang kemungkinan bencana dalam lokaliti.

"Pangkalan hadapan ini juga adalah satu persediaan awal supaya kita tidak terlalu jauh untuk menggerakkan aset (sekiranya berlaku bencana banjir)," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JPBM Selangor menghadapi MTL di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga turut berterima kasih kepada JBPM Selangor kerana meningkatkan kemudahan serta aset jabatan itu dalam menghadapi sebarang kemungkinan ketika MTL.

Katanya, JBPM Selangor turut membantu kerajaan negeri untuk melengkapkan proses persediaan dengan melatih 40 sukarelawan Selangor Volunteer (SERVE) dalam mendapatkan latihan asas bagi mencari dan menyelamat.

"Bomba sudah mengenalpasti pasukan mereka termasuk pasukan Bomba Sukarela; Bomba Komuniti dan kita tambah lagi dengan sukarelawan SERVE supaya semua lebih bersedia.

"Pasukan badan bukan kerajaan (NGO) ini juga boleh terbabit dalam proses mencari dan menyelamat yang sedikit berbahaya dan perlukan latihan asas," katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, pada peringkat awal pihaknya diberi amanah dan tanggungjawab untuk melatih 40 orang sukarelawan yang akan diberi latihan untuk mengendali mangsa banjir.

"Mereka akan dilatih untuk mengenalpasti risiko air banjir yang berarus dan sebagainya selain akan turut diajar bantuan pernafasan asas jika berlaku lemas.

"Latihan ini akan berlangsung selama empat hari bermula esok. Mereka akan menginap di sini (BBP Shah Alam) dan kita akan bawa ke lokasi air di kawasan Puchong untuk latihan," katanya.

Beliau berkata, sukarelawan akan membantu termasuk menjadi yang terawal bertindak sebelum ketibaan pasukan bomba dalam membantu pemindahan ataupun membabitkan bantuan penyelamatan di peringkat awal.

"Ini kumpulan pertama dan mungkin akan bertambah keahliannya. Kita juga akan menempatkan 10 pegawai dan anggota untuk mengurus latihan pada satu-satu masa," katanya.

AMIRUDIN (vest oren) melihat aset bomba pada Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut. FOTO Faiz Anuar.
AMIRUDIN (vest oren) melihat aset bomba pada Pelancaran Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Menghadapi Monsun Timur Laut. FOTO Faiz Anuar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 2:04 PM